LENGGONG – Skala dan tahap keseriusan isu keselamatan siber di negara ini dapat dilihat melalui data rasmi Pusat Tindak Balas Keselamatan Siber (Cyber999) di bawah CyberSecurity Malaysia, yang merekodkan sebanyak 5,735 laporan insiden siber sehingga September lalu.
Ketua Setiausaha Kementerian Digital, Fabian Bigar berkata, ia menunjukkan peningkatan melebihi 1,000 kes berbanding tempoh sama pada tahun 2024 yang mencatatkan 4,659 insiden.
Menurutnya, statistik ini merangkumi pelbagai bentuk insiden seperti penipuan pencerobohan data, serangan kod berniat jahat iaitu perisian yang direka untuk merosakkan atau mencuri maklumat, serta percubaan intrusi iaitu cubaan pihak luar masuk ke dalam sistem teknologi kita tanpa kebenaran.
“Kita kini berdepan dengan realiti bahawa ancaman digital bukan lagi perkara kemungkinan, ia adalah realiti dan berlaku setiap hari.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaporkan peningkatan ketara dalam kes penipuan dalam talian sehingga November tahun ini, khususnya penipuan telekomunikasi yang melibatkan ribuan mangsa serta anggaran kerugian melebihi RM700 juta di seluruh negara.
“Ini menunjukkan bahawa ancaman digital hadir dalam pelbagai cara dan menyasarkan semua pengguna Internet tanpa mengira latar belakang,“ katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Karnival Cakna Digital 2025 yang disempurnakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad di Kolej Kemahiran Tinggi Mara di sini, pada Sabtu.
Hadir sama, Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi Helmi dan Exco Pembangunan Wanita Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Salbiah Mohamed
Dalam pada itu, Fabian berkata, penganjuran Karnival Cakna Digital ini bukan sahaja membawa pengetahuan digital, tetapi juga berfungsi sebagai perisai keselamatan digital kepada komuniti.
“Dengan memberi pendedahan kepada langkah keselamatan siber, cara mengenal pasti penipuan atau scam, serta amalan digital yang selamat, kita berharap penduduk setempat dapat menggunakan teknologi dengan lebih yakin dan selamat.
“Secara langsung ia akan dapat menyumbang kepada pembentukan komuniti yang lebih berdaya tahan,“ ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Perak perkukuh pendidikan digital, galak generasi muda teraju ekonomi teknologi


