Anggota APMM mengaku tidak bersalah terima suapan RM12,000

IPOH – Seorang anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lapan pertuduhan menerima suapan berjumlah RM12,000 dari 2022 hingga 2023.

Kamarul Hairie Elias, 47, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Dia berdepan dua pertuduhan menerima RM4,000 daripada seorang pemilik bot melalui orang tengah secara pindahan dalam talian ke akaun milik anak kandungnya yang mengetahui tertuduh mempunyai perhubungan kerja-kerja rasmi tersebut.

Kedua-dua kesalahan didakwa dilakukan di Bank Simpanan Nasional Taman Bistari dalam Daerah Perak Tengah pada 10 Jan 2023.

Bagi enam pertuduhan lain, Kamarul Hairie yang ketika kejadian bertugas di Maritim Malaysia Perlis didakwa menerima RM8,000 daripada pemilik Syarikat LGH Maju Trading melalui orang tengah menerusi pindahan dalam talian dan juga kepada anak kandungnya di bank sama pada 7 Julai hingga 10 Dis 2022.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) S. Sujatha menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM berdekatan sebulan sekali.

Bagaimanapun, peguam Rahmatullah Baharudin memohon jumlah jaminan dikurangkan atas alasan tertuduh telah berkhidmat dengan kerajaan selama 30 tahun, berpendapatan bersih sekitar RM2,700 serta mempunyai tanggungan dua isteri dan 10 anak yang masih belajar.

Mahkamah membenarkan Kamarul Hairie diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan memerintahkannya supaya melapor diri di SPRM Tampoi, Johor setiap bulan kerana tertuduh kini berkhidmat di negeri itu.

Meor Sulaiman turut mengarahkan agar perbicaraan kes itu dijalankan di Mahkamah Sesyen Alor Setar, Kedah bagi memudahkan kehadiran saksi yang terlibat.

Bagaimanapun, tarikh sebutan semula kes belum ditetapkan kerana perkara itu perlu dirujuk kepada Mahkamah Sesyen Alor Setar terlebih dahulu.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI