Anggota bomba diarahkan keluar selepas dinding kanan bangunan runtuh

IPOH – Sepasukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak yang menjalankan kerja pemadaman di bahagian dalam pasar raya besar Mydin di Manjoi diarahkan keluar selepas berlaku runtuhan di bahagian kanan bangunan tersebut dalam kejadian kebakaran yang berlaku, malam tadi.

Pengarah JBPM Perak, Sayani Saidon berkata, sebelum itu, bomba telah melakukan kerja pemadaman di bahagian atas bangunan dan ia berjaya dikawal kira-kira 40 peratus.

Menurutnya, selepas api berjaya dikawal pihaknya bertindak menukar strategi pemadaman dengan menghantar satu pasukan untuk membuat penilaian risiko (size up) di bahagian belakang bangunan berkenaan.

“Selepas melakukan saiz up, kita mendapati kebakaran itu boleh dipadam dari bahagian dalam dan kita menghantar lebih kurang 10 anggota untuk membantu memadam kebakaran tersebut.

“Semasa anggota melakukan kerja-kerja pemadaman di bahagian kiri sebelah belakang dalam bangunan tiba-tiba satu runtuhan telah berlaku di bahagian hadapan kanan bangunan berkenaan.

10 anggota bomba diarahkan keluar selepas dinding kanan bangunan runtuh
Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sedang berusaha mengawal kebakaran yang berlaku di Mydin Manjoi, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 10 MAC 2024.

“Runtuhan itu menyebabkan dinding sebelah kanan bahagian atas bangunan runtuh sepenuhnya dan api marak.

“Susulan kejadian itu, pasukan terbabit diarahkan keluar demi keselamatan mereka,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian, malam tadi.

Akibat runtuhan tersebut, beliau berkata, pihaknya telah menukar strategi dengan melakukan pemadaman di bahagian luar memandangkan struktur bangunan yang rapuh dan tidak selamat.

“Operasi pemadaman berdepan kesukaran apabila struktur khususnya bahan besi yang semakin rapuh serta keadaan dalam bangunan yang semakin gelap.

“Kita turut menggunakan jentera Aerial Ladder Platform (ALP) untuk memadamkan api di atas bumbung bangunan itu,” jelasnya.

10 anggota bomba diarahkan keluar selepas dinding kanan bangunan runtuh
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon pada sidang media ekoran kejadian kebakaran yang berlaku di Mydin Manjoi, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 10 MAC 2024.

Beliau berkata, operasi pemadaman dijangka mengambil masa kerana terdapat bahan yang dikategorikan sebagai muatan api.

Katanya, bahan seperti bahan fabrik kain baju, perkakasan elektrik termasuk yang disimpan dalam stor serta panel solar yang turut menjana tenaga elektrik untuk premis terbabit antara punca api marak di bangunan berkenaan.

Sementara itu, Sayani berkata, seramai 123 anggota keselamatan dari pelbagai agensi terlibat dalam operasi pemadaman itu.

“Operasi ini melibatkan 70 anggota dan pegawai bomba, 22 polis serta dari Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM), Lembaga Air Perak (LAP), dan Tenaga Nasional Berhad (TNB),” katanya.

Sehingga jam 1 pagi, keadaan sudah terkawal namun bomba masih menjalankan kerja-kerja memadam kebakaran.

Terdahulu, bomba menerima panggilan kecemasan sekitar jam 7.09 malam memaklumkan terdapat kepulan asap kelihatan keluar dari bilik papan suis utama di tingkat atas pasar raya itu.

Operasi pemadaman melibatkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya, Ipoh, Simpang Pulai, Pasir Puteh serta dibantu Pasukan Bomba Sukarela Pekan Baru, Bercham, Chemor dan Pusing. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Mydin Manjoi terbakar: Semua pengunjung pekerja sempat keluar

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI