IPOH – Seorang anggota pasukan bomba sukarela (PBS) Menglembu hilang dikhuatiri lemas manakala seorang lagi selamat selepas mereka dipercayai terjatuh ke dalam tasik ketika menjalankan aktiviti latihan dan pengujian bot di Lahat Mines, di sini pada Ahad.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu sekitar jam 7.27 petang.
Menurutnya, sepasukan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh digerakkan ke lokasi sejurus selepas selesai menjalankan operasi pemadaman kebakaran lalang di Taman Shatin Baru di sini.
“Maklumat awal yang diperolehi mendapati, seorang lelaki berusia 25 tahun dipercayai sedang menjalankan aktiviti latihan dan pengujian bot sebelum mangsa dan pemandu bot kemudiannya terjatuh ke dalam tasik.
“Pemandu bot berjaya diselamatkan namun mangsa didapati tenggelam dan usaha operasi pencarian sedang dilaksanakan.
“Jarak mangsa jatuh dari tebing dianggarkan lebih kurang 150 meter dari tebing,“ katanya dalam satu kenyataan ringkas pada Ahad.
Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa masih lagi diteruskan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Lelaki hilang dikhuatiri lemas di Empangan Sultan Azlan Shah


