IPOH – Anggota pasukan bomba sukarela (PBS) yang terjatuh ke dalam tasik di tasik Jalan Lahat Mines, Bandar Baru Lahat Mines di sini, ditemukan lemas pada Isnin.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon berkata, mangsa ditemukan pada jam 10.18 malam ketika pasukan bomba sedang melakukan operasi pencarian pada permukaan air di lokasi berkenaan.
“Mangsa ditemukan terapung pada kedudukan kira-kira 70 meter dari tebing yang juga berhampiran dengan lokasi mangsa dipercayai terjatuh,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Terdahulu Sayani berkata, operasi pencarian mangsa pada hari kedua menyaksikan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) telah melakukan lima siri kaedah selaman dengan melibatkan keseluruhan sebanyak 17 kali selaman.

“Operasi membabitkan kekuatan 20 anggota bomba terdiri dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh, pasukan PPDA BBP Ipoh, Unit Anjing Pengesan (K9).
“Ia dibantu dua anggota PBS Sungai Petani serta enam anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM),” ujarnya.
Pada Ahad mangsa, Ka-Jun Cheng Siew berusia 25 tahun yang juga ahli PBS Menglembu dilaporkan dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam tasik di Bandar Baru Lahat Mines.
Ketika kejadian, mangsa bersama 16 anggota PBS iaitu dari PBS Menglembu, Pekan Baru dan Pasir Pinji sedang menjalankan aktiviti latihan dan pengujian bot di tasik berkenaan.
Dia pada peringkat awal telah memakai peranti pengapungan peribadi (PFD), namun selepas latihan hampir selesai, mangsa kembali menaiki menaiki bot tanpa memakai PFD.
Lelaki itu menaiki bot bersama seorang pemandu sebelum kedua-duanya dipercayai terjatuh ke dalam tasik ketika pemandu membuat pusingan U di tengah tasik. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Anggota bomba sukarela hilang dikhuatiri lemas terjatuh dari bot di Lahat


