Anggota PGA antara ditahan bantu siasatan kes tembak komander AKPS

SUNGAI PETANI – Seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) berpangkat koperal antara ditahan bagi membantu siasatan kes tembakan kenderaan Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) di Bukit Kayu Hitam, 25 Feb lepas.

Ketua Polis Kedah Datuk Adzli Abu Shah berkata anggota berusia 30-an yang bertugas di bahagian perisikan sempadan itu ditahan pada 5 Mac lepas oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.

“Anggota ini sudah dua tahun bertugas di sempadan di bahagian risikan. Dia seorang daripada 11 orang yang ditahan sebelum ini bagi membantu siasatan.

“Ujian saringan air kencing mendapati dia positif dadah jenis ketamin. Tempoh reman selama tujuh hari dan telah dibebaskan dengan jaminan polis semalam,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda dekat sini, hari ini

Beliau berkata berdasarkan siasatan awal, anggota tersebut dipercayai mempunyai hubungan rapat dengan ahli sindiket yang disyaki terbabit dalam kes berkenaan.

“Siasatan juga mendapati anggota itu berada di lokasi kejadian bersama ahli sindiket, kira-kira empat hingga lima jam sebelum insiden tembakan berlaku.

“Maklumat yang kita peroleh menunjukkan dia berkawan rapat dengan ahli sindiket dan dipercayai pernah sama-sama hisap dadah. Jadi bila ada maklumat sedemikian, kita tidak berkompromi dan menahannya untuk siasatan,” katanya.

Beliau berkata semua suspek yang ditahan bagi membantu siasatan setakat ini, adalah seramai 11 individu, namun mereka sudah dibebaskan dengan jaminan polis selepas tamat tempoh reman.

“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti kaitan anggota berkenaan dengan sindiket yang disyaki terlibat dalam insiden tembakan itu.

“Kes ini sangat serius kerana melibatkan tembakan terhadap anggota penguat kuasa, jadi kita akan siasat secara menyeluruh tanpa mengira siapa yang terlibat,” katanya.

Dalam kejadian pada 5.40 pagi 25 Feb lepas, kenderaan Proton X70 dipandu Komander AKPS Bukit Kayu Hitam SAC Mohd Nasaruddin M Nasir ditembak dua das di susur Masjid Al Muhajirin di Bukit Kayu Hitam, namun mangsa selamat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana melepaskan tembakan daripada senjata api dengan niat menyebabkan kematian atau kecederaan.

Dalam perkembangan lain, Adzli berkata seorang lelaki berusia 22 tahun ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes tetak dan bunuh di Taman Kempas, Selasa lepas.

Adzli berkata lelaki yang mempunyai 10 rekod jenayah lampau itu ditahan pada 5.30 petang hari kejadian dan motif kejadian dipercayai berpunca daripada dendam.

Dalam kejadian awal pagi Selasa lepas, seorang lelaki berusia 20-an dilaporkan maut manakala tangan adik perempuannya hampir putus akibat ditetak dan mangsa yang dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dalam keadaan stabil.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI