GERIK – Seorang daripada dua anggota tentera yang dihanyutkan arus ketika menyeberangi Sungai Merah semasa menjalankan Operasi Kota Echo / Foxtrot di kawasan Hutan Royal Belum, di sini, ditemui lemas.
Mangsa dikenali sebagai Lans Koperal Mohd Afandi Jahwin manakala rakannya Lans Koperal Ahmad Zulhilmi Ahmad Tamizi masih belum ditemui.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada jam 8.56 pagi pada Isnin.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku jam 6 petang, 29 November lalu semasa kedua-dua mangsa bersama tujuh lagi anggota lain menyeberangi Sungai Merah.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Seorang mangsa ditemui meninggal dunia akibat lemas manakala seorang lagi masih belum ditemui,” katanya. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
Tiga mangsa lemas di kolam latihan tentera disahkan anak anggota