Anggota tentera perlu pegang prinsip Kepercayaan kepada Tuhan – Sultan Nazrin

TANJUNG MALIM – Setiap anggota tentera harus menyempurnakan amanah dengan memegang prinsip Rukun Negara iaitu Kepercayaan kepada Tuhan, agar perjuangan tidak tersasar daripada haluan.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, mereka juga diingatkan untuk sentiasa menjunjung semangat kesetiaan kepada Raja dan Negara yang berteraskan kepada Perlembagaan.

Malah baginda bertitah, agar anggota tentera dapat membudayakan disiplin serta mempamerkan tingkah laku bersopan dan bersusila.

“Semangat wira dan jiwa kesateria tersemai dalam diri, hendaklah berupaya membina kekuatan dan keberanian dalaman untuk memperjuangkan yang hak serta menegak kebenaran.

“Semoga jika ditakdirkan terkorban di medan tempur, saudara saudari gugur dalam memperjuangkan sesuatu yang suci, perjuangan yang InsyaAllah akan mendapat keredaan Ilahi,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian pada Istiadat Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Awam Ke-42 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Kampus Sultan Azlan Shah, dekat sini, pada Sabtu.

Turut berkenaan berangkat ke istiadat adalah Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan.

Menyingkap sejarah, Sultan Nazrin bertitah, Raja-Raja Melayu merupakan pihak utama yang berperanan dalam mencorakkan angkatan tentera di negara ini.

Titah baginda, penyertaan anak tempatan dalam angkatan tentera di negara ini bermula dengan ketetapan Raja-Raja Melayu dalam Persidangan Durbar dengan ia disusuli pengambilan 25 pemuda Melayu sebagai skuad percubaan Rejimen Askar Melayu pada 1 Mei 1933.

Baginda bertitah, Rejimen itu kemudiannya berkembang, dan kemudian menjadi batalion penuh pada 1 Januari 1938, dengan dikenali sebagai Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu.

Titah Sultan Nazrin, memahami hakikat kepelbagaian kaum dalam komposisi rakyat di negara ini, penting untuk semua pihak memikul tanggungjawab mempertahankan negara daripada ancaman musuh.

Titah baginda, oleh itu komposisi angkatan tentera di negara ini tidak dibatasi kepada golongan orang Melayu sahaja.

Titah baginda lagi, justeru penyertaan bukan Melayu dalam angkatan tentera dirintis dengan penubuhan batalion pertama Rejimen Persekutuan dan Skuadron A, Rejimen Kereta Perisai Persekutuan, diikuti dengan penubuhan unit-unit signal, jurutera, pengangkutan dan polis tentera.

Titah baginda lagi, ia kemudian diteruskan dengan penubuhan Maktab Tentera Persekutuan di Port Dickson yang membuka pengambilan pelajar daripada semua kaum di negara ini.

“Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bermula dari Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Negeri-negeri Selat pada 27 April 1934 di Singapura.

“(Ia kemudian) dibesarkan pada tahun 1938 dengan pembukaan cawangan di Pulau Pinang, bertukar nama kepada Pasukan Sukarela Tentera Laut Malaya, (serta) dianugerahkan gelaran Diraja oleh Ratu Elizabeth II pada tahun 1952,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pula bermula dengan penubuhan Pasukan Sukarela Tentera Udara Negeri-negeri Selat pada tahun 1936.

Titah baginda, ia kemudian bertukar nama kepada Pasukan Simpanan Tentera Udara Malaya pada tahun 1940.

“(TUDM) ditubuhkan dengan rasminya pada 2 Jun 1958 setelah pesawat ‘Twin Pioneer’ buat pertama kalinya mendarat di Kuala Lumpur,” titah Sultan Perak.

Pada istiadat, Sultan Nazrin berkenan mengurniakan Pedang Kehormat kepada 35 Pegawai Kadet Terbaik daripada universiti seluruh Malaysia.

Terdahulu, baginda memperkenankan semua 1,435 orang pegawai kadet PALAPES ditauliahkan sebagai Leftenan Muda Pasukan Simpanan Angkatan Tentera Malaysia. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

MAHA 2024: Sultan Nazrin berangkat ke Pavilion Negeri Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI