Angkara ‘phone scam’ penyelia asrama rugi RM34,350

TELUK INTAN – Seorang penyelia asrama mengalami kerugian RM34,350 selepas diperdaya dengan sindiket ‘phone scam’ yang menyamar sebagai pihak syarikat jualan terkenal dalam talian dan polis.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, pihaknya menerima laporan polis daripada mangsa berusia 32 tahun berhubung kejadian itu sekitar jam 6.46 petang semalam.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, pada 22 Julai lalu mangsa telah menerima panggilan telefon daripada syarikat jualan terkenal dalam talian yang mendakwa pengadu ada menjual barangan komestik mengandungi bahan terlarang.

Katanya, pemanggil meminta mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang tetapi mangsa memaklumkan tidak dapat berbuat demikian kerana lokasinya yang agak jauh.

“Pihak syarikat terbabit telah memberikan pautan untuk menghubungkan mangsa dengan seorang lelaki yang mendakwa pegawai penyiasat dari IPK Pulau Pinang bernama Inspektor Khalish.

“Selepas menerima panggilan telefon dari Inspektor tersebut, mangsa didakwa ada terlibat dengan pengubahan wang haram setelah Inspektor tersebut kononnya memeriksa maklumat pengadu di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

“Kemudian mangsa menerima panggilan dari seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pendakwa raya bernama Azmi yang memintanya membuat pindahan wang kepada juruaudit untuk siasatan dan duit tersebut akan dikembalikan selepas siasatan selesai,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, pada Khamis lalu, sekitar jam 6.36 petang semasa mangsa di tempat kerjanya, dia telah membuat pindahan secara perbankan dalam talian kepada nombor akaun bank yang diberikan suspek sebanyak RM24,200.

“Semalam, lebih kurang jam 4.28 petang mangsa telah membuat pemindahan wang sebanyak RM10,150 menerusi mesin deposit tunai ketika berada di sebuah bank di Baling, Kedah kepada akaun yang diberikan suspek atas alasan siasatan,” jelasnya.

Susulan itu, Ahmad Adnan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai yang menerima panggilan yang meragukan untuk segera membuat semakan dengan pihak polis atau agensi kerajaan berkenaan bag mengelakkan dari menjadi mangsa penipuan. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Kesunyian punca wanita terjerat – Love Scam

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI