IPOH – Sekolah Kebangsaan (SK) Raja Perempuan Ipoh, bersama bekas-bekas murid dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) akan menganjurkan majlis amal minum petang ‘RPSian Hi-Tea’ pada 26 Januari ini.
Guru Besar SK Raja Perempuan Ipoh, Muszalipah Ahmad Yahya berkata, penganjuran program yang akan berlangsung di Galasa Caldwell dekat sini itu adalah usaha mengumpul dana bagi tujuan menaik taraf infrastruktur dan kemudahan sekolah.
Katanya, sumbangan akan disalurkan bagi termasuk kepada bangunan surau, dewan, makmal sains, pusat sumber, bilik Bahasa Inggeris serta bilik program kebitaraan sekolah.
“Saya difahamkan program seumpama ini julung kali diadakan, dengan tujuan untuk mencari dana tambahan bagi tujuan pembangunan infrastruktur sekolah kerana ada antaranya sudah berusia.
“Kita menyasarkan paling minimum dapat dijual sebanyak 500 tiket dengan setiap satu berharga RM100, dan program ini terbuka kepada semua.
“Sesiapa yang berminat untuk mendapatkan tiket boleh menghubungi pihak kami, dan setakat ini juga hampir separuh telah terjual,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.
Menurut Muszalipah, dana hasil daripada penjualan tiket itu juga akan disalurkan bagi pembelian papan pintar agar kaedah pembelajaran secara digital yang kondusif dapat diwujudkan di bilik darjah.
Kata beliau, ia adalah usaha pihak sekolah dalam memastikan kaedah pembelajaran murid dapat bergerak seiring dengan perkembangan serta keperluan semasa.
Tambah beliau, antara pengisian RPSian Hi-Tea adalah persembahan tarian dan nyanyian murid, penghargaan ikon murid, cabutan bertuah dan sebagainya.
Malah Muszalipah berkata, program itu juga sebagai ruang kepada pihak sekolah dan bekas murid untuk mengeratkan lagi hubungan bersama komuniti serta rakan strategik agensi kerajaan dan swasta.
“Saya harap platform ini dapat merealisasikan anjakan Kesembilan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025 iaitu kerjasama dengan ibu bapa, komuniti, dan sektor swasta secara meluas.
“Usaha ini juga diharap dapat menggambarkan komitmen semua pihak terlibat dalam merealisasikan pembelajaran pada abad ke-21 ini demi kemenjadian murid SK Raja Perempuan Ipoh,” ujarnya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Sultan Nazrin, Tuanku Zara berangkat ke Majlis Makan Malam Amal KBGK