LUMUT – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menyempurnakan Majlis Penutupan Program Madani Rakyat (PMR) 2025 peringkat Negeri Perak di Lumut Waterfront, dekat sini, pada 15 Jun ini,
Program yang berlangsung selama tiga hari itu melibatkan kerjasama strategik antara Pejabat Perdana Menteri (PMO) melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kerajaan Negeri Perak.
Menurut Sekretariat Program, bertemakan ‘Pendidikan Tinggi Pemacu Negara Madani’, penganjuran acara berkenaan memberi fokus kepada peranan institusi pendidikan tinggi sebagai pemangkin dasar dan pembangunan inisiatif yang berpaksikan disiplin ilmu seperti penyelidikan, inovasi dan pemikiran kritikal.
“PMR 2025 Perak menyasarkan pengunjung melebihi 100,000 orang dari seluruh Perak serta juga dijangka menarik kehadiran pengunjung dari zon utara dan tengah tanah air.
“Pengisian program merangkumi perkhidmatan titik sentuh rakyat, inisiatif kesejahteraan komuniti, sesi bersama pemimpin.
“Juga akan dianjurkan aktiviti Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) oleh Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) selaras dengan hasrat merakyatkan perkhidmatan di samping memperkukuh aspirasi Rakyat Madani,” katanya menerusi satu kenyataan, pada Rabu.
Selain itu katanya, antara pengisian lain adalah penyertaan kementerian dan agensi kerajaan melalui kaunter bergerak serta penglibatan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang menawarkan pelbagai khidmat secara terus kepada pengunjung.
Tambahnya, Kerajaan Negeri Perak juga akan membawakan pengisian khas melalui reruai pembangunan negeri di bawah agenda Perak Sejahtera 2030.
“Orang ramai dijemput hadir untuk memeriahkan program dan memanfaatkan pelbagai perkhidmatan serta aktiviti yang disediakan.
“PMR 2025 Perak bermula pada jam 9 pagi hingga 10 malam bagi hari Jumaat dan Sabtu, manakala hari Ahad, ia bermula pada jam 9 pagi hingga 6 petang,” tambah kenyataan itu. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Dua kampung johan Anugerah Desa Sejahtera, Anugerah Sejati Madani