Anwar harap rakyat jangan buang masa undi parti lain

TAPAH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap rakyat tidak membuang masa mengundi parti lain pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning yang dijangka akan diadakan dalam masa terdekat.

Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Pimpinan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di Bangunan UMNO Tapah, petang tadi.

Mesyuarat yang dipengerusikan Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad itu turut dihadiri Pengerusi Amanah Perak, Datuk Asmuni Awi dan Naib Pengerusi DAP Perak, A Sivanesan.

Beliau berkata, BN dan PH menerusi Kerajaan Perpaduan adalah satu gabungan yang kuat mewakili semua kaum di negara ini.

“Dalam setiap PRK, Perdana Menteri tentunya mahukan kerjasama yang baik antara komponen dalam Kerajaan Perpaduan.

“Ini gabungan yang kuat, gabungan yang mewakili semua kaum dan telah terbukti berperanan dengan efektif di peringkat Persekutuan dan negeri.

“Jadi saya percaya, harapan Perdana Menteri tentunya supaya pengundi di sini dapat bertindak dengan matang dan bijak untuk memilih calon daripada komponen parti yang boleh mewakili mereka dalam apa jua permasalahan yang akan mereka hadapi,“ ujarnya.

Shamsul Iskandar yang juga Pengerusi PH Perak berkata, berdasarkan rekod DUN Ayer Kuning adalah kawasan ikonik dan menjadi kubu kuat BN setiap kali pilihan raya umum (PRU) berlangsung.

“Kita beharap dengan kerjasama antara PH dan BN, kita dapat ‘menghidangkan‘ kepada rakyat, kepada pengundi seorang calon yang baik.

“Melalui kerjasama ini, tentunya tekad kita adalah untuk memberikan khidmat kepada pengundi. Jadi saya harap juga pengundi dapat beri peluang sekali lagi kepada gabungan perpaduan ini,“ ujarnya.

Kekosongan kerusi DUN Ayer Kuning (N48) berlaku susulan penyandang, Ishsam 59, meninggal dunia selepas menyertai perlawanan Kejohanan Bola Sepak Empat Penjuru di Stadium Bandaraya, George Town, Pulau Pinang, akibat serangan jantung, pada 22 Februari lalu.

Untuk rekod, Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) BN memenangi kerusi DUN Ayer Kuning dengan majoriti 2,213 menewaskan empat calon lain masing-masing dari PH, Perikatan Nasional, Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Gerakan Tanah Air.

Ishsam dari UMNO memperoleh 9,088 undi diikuti Mohd Nazri Hashim dari AMANAH yang mendapat 6,875 undi, Muhammad Noor Farid Zainal dari Pas (6,812 undi), K Bawani dari PSM (586 undi) dan Maziah Salim dari Parti Pejuang Tanah Air (105 undi). – MG Perak

Artikel Berkaitan:

‘Chemistry’ BN, PH mampu beri kemenangan DUN Ayer Kuning

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI