SUBANG JAYA – Inisiatif Rumah Bangsa perlu diperluaskan tidak terhad hanya kepada bekas ahli UMNO yang dipecat mahupun digantung, bahkan dibuka kepada semua pihak termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, meskipun Anwar kini mengemudi Parti Keadilan Rakyat (PKR), namun kemasukan bekas Timbalan Presiden UMNO itu perlu dipertimbangkan.
“Rumah Bangsa yang diilhamkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ini adalah idea seorang pemimpin Melayu yang sangat hebat. Beliau sendiri yang buang orang ini, dengan serta-merta beliau boleh terima semula tanpa syarat.
“Inisiatif Rumah Bangsa ini sangat besar maksudnya, sebab dia mestilah seorang bangsa Melayu, bukan hanya UMNO sahaja. Bagaimana dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ini? Beliau juga pemimpin UMNO dulu.
“Kurang tepatlah Rumah Bangsa ini untuk orang UMNO sahaja, ia perlu mencakupi yang lain. Sepatutnya letakkan Anwar juga bersama dalam Rumah Bangsa,” katanya ketika ditemui di kediamannya, di sini, malam semalam.
Isnin lepas, bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin mengemukakan surat rayuan kepada Ahmad Zahid bagi menyertai semula parti Melayu itu menerusi inisiatif Rumah Bangsa.
Pada Januari 2023, UMNO memecat Khairy, selain menggantung keahlian bekas Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; bekas Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan dan bekas Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang.
Turut digantung keahlian ialah bekas Ketua UMNO Bahagian Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar sebelum dipecat daripada parti.
Ketika ditanya tentang keterbukaan beliau untuk menyokong dan kembali ke pangkuan UMNO, Syed Abu Hussin berkata, selagi mana struktur UMNO Bahagian Bukit Gantang tidak dirombak semula, beliau kekal sebagai kuasa ketiga.
“Dulu saya Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang, saya dan keluarga meletakkan jawatan kerana tak puas hati dengan struktur sedia ada di Bukit Gantang dan juga di tempat-tempat lain.
“Apakah struktur ini akan diubah ataupun tidak? Struktur sangat penting, kepimpinan juga penting, struktur pemilihan juga penting.
“Saya tak nak nanti bila saya masuk, akan menjadi masalah lebih besar, sebab di peringkat struktur di bahagian, sudah ada ketua bahagian, timbalan dan semua struktur dan mereka ini sudah bekerja untuk parti.
“Kalau saya masuk, apa kedudukan saya (Bukit Gantang), saya kena tanyakan apakah perinciannya, apakah yang patut saya buat di sana,” katanya.
Selain itu, Syed Abu Hussin memberi bayangan beliau belum bersedia untuk menyertai UMNO menerusi Rumah Bangsa kerana khuatir akan menyebabkan perpecahan orang Melayu.
“Sekarang saya sedang mengendalikan satu pendekatan baharu, non-partisan untuk memberikan khidmat kepada rakyat tanpa perlu memihak kepada mana-mana.
“Kalau saya masuk balik UMNO dalam keadaan struktur bahagian masih sama, saya khuatir akhirnya (penyatuan ummah) hancur balik, nanti Rumah Bangsa nak susun macam mana jika semua nak tanding jadi presiden.
“Inilah puncanya perpecahan orang Melayu sampai ada lapan parti sekarang. Punca apa? Tak puas hati, pertandingan tak dibenarkan, pertandingan kalah, keluar parti, saya keluar parti bukan kalah pertandingan, saya menang 4-0,” katanya lagi. – MalaysiaGazette


