KUALA LUMPUR – Malaysia menyokong sepenuhnya segala usaha bagi memastikan pihak yang bertanggung jawab dalam serangan ganas di Sydney, Australia semalam dibawa ke muka pengadilan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau terkejut dan sangat bimbang dengan serangan yang telah meragut 15 nyawa itu termasuk seorang kanak-kanak dan penyerangnya sendiri.
“Tiada sebarang justifikasi bagi keganasan yang disasarkan terhadap orang awam, apatah lagi serangan yang menyasarkan individu berdasarkan kaum atau agama, pada bila-bila masa dan di mana jua.
“Perbuatan sedemikian langsung tidak berlandaskan mana-mana agama atau kepercayaan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau yang mengecam perbuatan itu menambah, Malaysia berdiri teguh dalam solidariti bersama rakyat dan kerajaan Australia pada saat yang sukar ini.
“Saya merakamkan ucapan takziah yang setulus hati kepada keluarga mangsa dan mendoakan agar mereka yang cedera diberikan kesembuhan yang segera dan sepenuhnya,” ujar beliau lagi.
Kejadian tembakan itu berlaku sekitar jam 6.47 petang (07.47 GMT) berhampiran Bondi Pavilion semasa sambutan Hanukkah yang dihadiri lebih 1,000 orang.
Menurut pihak berkuasa Australia, 15 orang yang berusia antara 10 hingga 87 tahun disahkan maut termasuk salah seorang penyerang. Manakala seorang lagi penyerang berada dalam keadaan kritikal.
Pesuruhjaya Polis New South Wales, Mal Lanyon, berkata pada Ahad bahawa 29 orang cedera, termasuk dua anggota polis, dalam kejadian yang disifatkannya sebagai satu “insiden keganasan”.
Dalam sidang media yang disiarkan menerusi televisyen, Perdana Menteri Anthony Albanese menyifatkan insiden itu sebagai “serangan yang disasarkan terhadap warga Yahudi Australia pada hari pertama Hanukkah”.
Tambahnya, serangan yang berlaku di Pantai Bondi itu berada “di luar kemampuan untuk difahami”.
“Serangan terhadap warga Yahudi Australia adalah serangan terhadap setiap rakyat Australia, dan setiap rakyat Australia pada malam ini akan — seperti saya — berasa amat hancur dengan serangan terhadap cara hidup kita.”
Pantai Bondi merupakan salah satu pantai paling terkenal di dunia dan biasanya dipenuhi penduduk tempatan dan pelancong, khususnya pada waktu petang hujung minggu yang hangat. – MalaysiaGazette


