Anwar mahu Rafizi, Nik Nazmi sertai semula Kabinet

MELAKA – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau masih memberi masa kepada dua menteri yang meletakkan jawatan sebelum ini, untuk memikirkan secara masak-masak sebelum melepaskan kedudukan mereka dalam Kabinet.

Perdana Menteri berkata jika boleh beliau mahu Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad menyertai semula Kabinetnya.

” … biar mereka berfikir …. Saya kalau boleh (mahu) mereka sertai semula (Kabinet). Surat (peletakan jawatan) sudah diterima, tetapi saya belum terima (luluskan) peletakan jawatan mereka,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Seminar Pemantapan Organisasi dan Pertemuan Bersama Presiden Parti yang diadakan secara tertutup di sini semalam.

Turut hadir, dua Naib Presiden, iaitu Datuk Seri Amirudin Shari dan Datuk Seri R Ramanan; Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh; Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek; Ketua Pemuda PKR, Muhammad Kamil Abdul Munim dan Ketua Cabang PKR Hang Tuah Jaya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Sebelum ini, Rafizi yang juga Menteri Ekonomi dan Nik Nazmi selaku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam menghantar surat peletakan jawatan susulan kekalahan mereka pada pemilihan parti yang berlangsung bulan lalu.
Sementara itu, Anwar dalam ucapannya memohon supaya ahli parti kembali mempererat silaturahim sesama mereka walaupun ada yang tidak berpuas hati dengan keputusan pemilihan baru-baru ini.

Beliau berkata semua pihak perlu berlapang dada dan melupakan perbezaan pendapat yang tercetus ketika pemilihan itu untuk agenda lebih besar parti.

“Bayangkan saya boleh bekerjasama dengan UMNO, siap peluk-peluk. (Ahli parti) kena move on untuk agenda lebih besar. Kalau saya boleh bekerjasama dengan UMNO, takkanlah saya tak boleh bekerjasama dengan kawan-kawan yang berbeza pendapat,” katanya. -BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI