KUALA LUMPUR – Tuduhan Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben-Gvir yang menggelar delegasi Global Sumud Flotilla (GSF) sebagai pengganas merupakan propaganda jahat Zionis mengalihkan perhatian dunia daripada kekejaman sebenar mereka.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kenyataan sedemikian bukan sahaja tidak berasas malah bertujuan menggambarkan seolah-olah misi kemanusiaan yang digerakkan oleh pelbagai pihak antarabangsa itu mempunyai niat tersembunyi.
“Itu adalah propaganda Zionis. Mereka inilah pengganas sebenar. Peserta flotilla tidak membawa senjata, tidak membunuh sesiapa — mereka hanya membawa makanan, minuman dan ubat-ubatan.
“Jadi bagaimana mungkin mereka dilabel sebagai pengganas? Itu satu kenyataan yang tidak masuk akal,” katanya kepada media hari ini.
Anwar berkata demikan selepas selesai menunaikan solat Jumaat dan solat Hajat di Masjid Al Khadijah hari ini.
Hadir sama adalah Menteri Komunikasi, Datuk Ahmad Fahmi Fadzil dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shaari.
Semalam, Itamar Ben-Gvir menuduh aktivis dan sukarelawan misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) sebagai pengganas selain membawa bahan kimia.
Menerusi video tular di media sosial, Ben-Gvir hadir di hadapan aktivis dan sukarelawan yang ditahan oleh tentera Zionis Israel malah dia turut memasuki salah satu kapal serta menuduh kononnya terdapat bahan kimia di dalamnya.
Video berkenaan turut dikongsikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman yang memaklumkan kelihatan penyanyi, Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah serta aktivis dan sukarelawan Malaysia di situ.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar berkata, tuduhan sedemikian merupakan strategi Israel untuk memfitnah dan menekan usaha masyarakat antarabangsa yang berani mencabar dasar penindasan mereka terhadap rakyat Palestin.
“Ini bukan kali pertama Israel menabur fitnah terhadap mana-mana pihak yang membawa misi kemanusiaan ke Gaza. Mereka mahu menakut-nakutkan dunia supaya tidak membantu rakyat Palestin,” katanya.
Perdana Menteri turut menzahirkan penghargaan terhadap keberanian para sukarelawan flotilla yang tetap berpegang pada prinsip keamanan walaupun berdepan risiko tinggi.
“Apa yang mereka lalui ini telah membuka mata ratusan juta rakyat dunia. Mereka berkorban demi kemanusiaan,” ujarnya.
Beliau turut menggesa masyarakat antarabangsa supaya tidak terperangkap dengan retorik Israel dan terus memberi tekanan terhadap rejim Zionis untuk menghentikan kekejaman di Gaza.
“Ini masa untuk masyarakat antarabangsa bertindak dengan jelas dan tegas, bukan sekadar menerima bulat-bulat propaganda mereka. Kita mesti berdiri bersama rakyat Palestin,” tegas Anwar.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, kerajaan akan turut menggantikan kesemua telepon bimbit rakyat Malaysia yang dibuang ke laut sebelum ditahan tentera Israel.
“Insya-Allah kita akan ganti kesemuanya (23 rakyat Malaysia),” katanya.
Sebelum itu, Pengarah Pusat Kawalan Operasi Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr. Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, kesemua 23 rakyat Malaysia bertindak mencampakkan telefon ke dalam laut sebelum dipintas Israel. – MalaysiaGazette