Anwar tempelak pihak kritik pengumuman kenaikan gaji penjawat awam

IPOH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak tindakan segelintir pihak yang mengkritik kerajaan berhubung pengumuman kenaikan gaji penjawat awam mulai 1 Disember nanti.

Katanya, ini kerana perkara itu sebagai menghargai jasa semua penjawat awam termasuk pasukan bomba yang memastikan negara sentiasa berada dalam keadaan selamat daripada sebarang situasi buruk.

“Dan kadang-kadang (ada yang) berleter, mengeluh, pertikai beberapa keputusan, apabila kita nak berikan tambahan upah dan pengiktirafan kepada penjawat awam.

“Dia kata, ‘mengapa dalam keadaan ekonomi sekarang, kerajaan pilih untuk naikkan gaji penjawat awam.

“Dia lupa negara ini aman, negara ini selamat dari kebakaran, tanah runtuh dan sebagainya kerana perkhidmatan dan pengorbanan (bomba),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2024 (SHAB 2024), di di Jalan Tambun, Sunway City, dekat sini, pada Sabtu.

Hadir sama ke majlis, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; serta Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohammad.

Perdana menteri datuk seri Anwar Ibrahim gaji penjawat awam pihak kritik bomba pasukan bomba
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir ke Majlis Perasmian Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2024 di Jalan Tambun, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR

Hari Anggota Bomba Sedunia disambut pada 4 Mei setiap tahun sebagai memperingati dan menghargai pengorbanan serta bakti yang telah diberikan oleh anggota bomba di seluruh dunia.

Anwar yang juga Menteri Kewangan pada Rabu mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam lebih 13 peratus bermula Disember ini.

Kenaikan antara tertinggi dan terbaik dalam sejarah negara itu melibatkan peruntukan lebih RM10 bilion.

Mengulas lanjut, Anwar memberi jaminan bahawa inisiatif itu tidak akan mengakibatkan kesenjangan atau jurang pendapatan yang lebar dalam kalangan penjawat awam.

“Orang yang khidmat 30 tahun tak mungkin gajinya sama dengan orang khidmat tiga tahun. Malah, orang yang punyai kemahiran dan kepakaran mesti diberi pengiktirafan.

“Disebabkan itu kita akan kurangkan kesenangannya, yang mana ia bermakna di peringkat bawah mungkin peningkatan sampai 20 hingga 30 peratus. Akan peningkatan tetapi secara keseluruhan, saya akan umumkan peningkatan lebih 13 peratus,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Anwar menzahirkan penghargaan daripada kerajaan terhadap jasa dan khidmat yang telah dicurahkan pasukan bomba selama ini.

Menurut beliau, ini kerana pasukan ini beruniform itu telah melakukan yang terbaik demi keselamatan rakyat di negara sehingga ada yang tercedera dan terkorban.

“Setiap kali dengan perjumpaan saya dengan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, beliau sentiasa menzahirkan rasa penghormatannya terhadap kecekapan, kekentalan, disiplin dan semangat pasukan bomba negara ini (susulan misi bantuan mangsa gempa negara itu sebelum ini),” ujar beliau. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Gaji penjawat awam naik lebih 13% bermula Disember ini

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI