Anwar turun padang kacau bubur lambuk bersama KRT Parlimen Tambun 

IPOH – Sebanyak 10,000 bekas bubur lambuk diedarkan kepada orang ramai menerusi Program Gerak Rahmah: Jom Masak Bubur Lambuk Perpaduan 2024 Parlimen Tambun di Dewan Orang Ramai Taman Meru, di sini, pada Isnin.

Program anjuran Kementerian Perpaduan Negara itu dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut meluangkan masa meninjau penyediaan bubur lambuk di program tersebut.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata, seramai 450 peserta terdiri daripada 20 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Parlimen Tambun, 10 agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terlibat dalam program berkenaan.

Menurutnya, sebanyak 30 periuk bubur lambuk dan 10,000 bekas bubur diedarkan kepada semua penduduk sekitar.

Anwar turun padang kacau bubur lambuk bersama KRT Parlimen Tambun 
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan sumbangan pada Program Gerak Rahmah 2024 : Jom Masak Bubur Lambuk Perpaduan Parlimen Tambun di Dewan Orang Ramai Taman Meru, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 25 MAC 2024.

“Pelaksanaan program ini adalah di bawah Kluster Komuniti Rahmah selaras dengan komitmen kementerian dalam memperkasa Rukun Tetangga sebagai penggerak dan pengantara penting dalam penganjuran program komuniti, kesukarelawanan dan kenegaraan pada peringkat akar umbi,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak A Sivanesan.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan harapan supaya program seumpama ini dapat meningkatkan kesedaran dan menggerakkan peranan KRT sebagai ejen penyatuan masyarakat serta menyumbang kepada pembangunan komuniti yang lebih progresif.

Anwar turun padang kacau bubur lambuk bersama KRT Parlimen Tambun 
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad ketika menghadiri Program Gerak Rahmah 2024 : Jom Masak Bubur Lambuk Perpaduan Parlimen Tambun di Dewan Orang Ramai Taman Meru, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 25 MAC 2024.

“Program ini juga diharapkan dapat mencapai matlamat untuk Membangunkan Komuniti Rahmah selaras dengan Aspirasi Membangun Masyarakat Madani,” jelasnya.

Pada majlis itu, Anwar turut menyampaikan sumbangan 150 Kotak Rahmah dan lima kerusi roda kepada mereka yang memerlukan di sekitar kawasan Parlimen Tambun. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Anwar tinjau program SARA di Meru Raya

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI