Anwar ucap tahniah, BN kekal kuasai Parlimen Kinabatangan, DUN Lamag

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan tahniah kepada Barisan Nasional (BN) atas kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag yang berlangsung semalam.

Beliau berkata, keputusan itu mencerminkan keyakinan berterusan rakyat terhadap usaha, khidmat serta komitmen yang ditunjukkan BN di peringkat akar umbi.

“Saya merakamkan ucapan tahniah kepada BN atas kemenangan dalam Pilihanraya Kecil Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag semalam.

“Keputusan ini mencerminkan keyakinan rakyat yang berterusan terhadap usaha, khidmat dan komitmen yang telah dipertunjukkan di peringkat akar umbi,” katanya dalam satu kenyataan.

Anwar menegaskan, kemenangan tersebut perlu ditanggapi dengan penuh rasa tanggungjawab sebagai amanah rakyat yang menuntut kepemimpinan berintegriti serta tahap khidmat yang berkesan.

Menurut beliau, Kerajaan Madani akan terus menjunjung semangat muafakat dan kebersamaan bagi memastikan pembangunan di Sabah dapat diperkukuh secara berterusan.

“Kerajaan Madani akan terus menjunjung semangat muafakat dan kebersamaan demi memastikan pembangunan di Sabah dapat dimantapkan, kesejahteraan rakyat terus dipelihara dan agenda yang madani dapat dijelmakan dengan tekad secara bersama,” ujarnya.

Beliau turut merakamkan tahniah kepada wakil rakyat yang berjaya memenangi kedua-dua kerusi berkenaan.

“Tahniah kepada YB Parlimen Kinabatangan dan YB DUN Lamag yang baharu, Mohd Kurniawan Naim Moktar serta Mohd Ismail Ayob atas kemenangan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar turut mendoakan agar legasi khidmat dan kepemimpinan allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin dapat diteruskan demi kesejahteraan rakyat di kawasan terbabit.

Semalam, calon Pemuda BN, Mohd Kurniawan Naim Moktar berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Kinabatangan sekali gus meneruskan legasi bapanya, Bung Moktar Radin.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, Mohd Kurniawan Naim, 32, memperoleh 19,852 undi dan menang dengan majoriti besar 14,214 undi.

Beliau menewaskan pencabarnya, Datuk Saddi Abdul Rahman yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sukau yang memperoleh 5,638 undi, manakala calon Bebas, Goldam Hamid mendapat 946 undi.

PRK Parlimen Kinabatangan diadakan susulan kematian penyandangnya, Bung Moktar Radin pada 5 Disember lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), allahyarham Bung Moktar mempertahankan kerusi Parlimen Kinabatangan dengan majoriti 4,330 undi menewaskan calon Warisan, Mazliwati Abdullah Malek. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI