Arca besi tempa nama Raja Shahriman hingga ke pentas antarabangsa

ARCA bukan sekadar objek logam, sebaliknya ia adalah sebahagian daripada ‘bahasa’ seni visual yang mampu merakam emosi, dan pemikiran manusia melalui lekukan serta tekstur yang terdapat padanya.

Dalam dunia seni halus, arca besi pula lazimnya sering ditafsir sebagai manifestasi kepada kekuatan fizikal dan spiritual, serta jiwa pengkaryanya.

Di Kuala Kangsar, arca besi yang dihasilkan pengarca tersohor negara, Raja Shahriman Raja Aziddin, 59, boleh disifatkan sebagai medium komunikasi visual yang menterjemahkan pelbagai perkara.

Tukang pandai besi, Raja Shahriman Raja Aziddin, 59, menunjukkan arca- arca hasil tangannya di bengkelnya di Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Foto ABDULLAH YUSOF 15 JANUARI 2026.

Anak jati Bandar Diraja Perak itu berkata, selain perkembangan isu semasa, setiap siri arca yang dihasilkan olehnya lahir daripada refleksi diri dan pengalaman hidup khususnya yang dilalui sepanjang berada dalam arena seni sejak lebih daripada 30 tahun.

“Saya gemar berkarya dengan bersandarkan kepada segala perkara yang saya lalui dalam perjalanan hidup dan isu semasa.

“Misalnya dalam siri arca bertajuk ‘Gerak Tempur’, ia adalah tentang perjuangan saya dalam dunia seni, sementara karya ‘Rhythm of the 21st Century’ menyentuh isu kemanusiaan, dunia dan peperangan.

“Sementara ‘Senadi Senafas’ pula, menampilkan karya tentang pergolakan dalam kehidupan manusiawi yang berlaku ketika ini,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Bukit Chandan, Kuala Kangsar.

Antara arca hasil tangan tukang pandai besi, Raja Shahriman Raja Aziddin, 59, di Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Foto ABDULLAH YUSOF 15 JANUARI 2026.

Menurut bekas pensyarah di Institut Seni Lukis Malaysia (MIA) itu, proses untuk menghasilkan sebuah arca besi memakan masa antara seminggu hingga berbulan-bulan, bergantung kepada saiz dan tahap perincian.

Ujar beliau, seni arca tempa besi seperti yang dilakukannya hampir tidak wujud di Malaysia kerana ia melibatkan proses pembakaran, ketuk, lentur dan cantuman secara manual tanpa pengunaan acuan.

arca besi Raja Shahriman pengarca Raja Shahriman Raja Aziddin, seni arca besi Malaysia, arca tempa besi tradisional, seni arca Kuala Kangsar, pengarca tersohor negara, seni visual Malaysia
Tukang pandai besi, Raja Shahriman Raja Aziddin, 59, menunjukkan arca- arca hasil tangannya di bengkelnya di Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Foto ABDULLAH YUSOF 15 JANUARI 2026.

“Di luar negara ada, tetapi tidak ramai. Di Malaysia, setakat ini, hanya saya seorang sahaja yang benar-benar buat arca tempa besi sebegini.

“Saya tidak guna teknik penuangan logam cair ke dalam acuan atau ‘casting’. Sebaliknya, semua arca ini ditempa menggunakan teknik tradisional, sama seperti membuat keris.

“Jika ada melibatkan penggunaan mesin, ia hanya sekadar untuk mengetuk besi yang tebal bagi mendapatkan bentuk. Namun selebihnya setiap lekukan dihasilkan sendiri dengan tangan,” katanya lagi.

Dari Kuala Kangsar ke pentas dunia

Menyingkap perjalanan awal, Raja Shahriman mula mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Clifford dan Sekolah Menengah Clifford di Kuala Kangsar.

Beliau kemudiannya melanjutkan pengajian Diploma Seni Lukis dan Seni Reka di Institut Teknologi MARA (kini Universiti Teknologi MARA – UiTM) pada tahun 1986, dengan pengkhususan dalam Seni Arca.

arca besi Raja Shahriman pengarca Raja Shahriman Raja Aziddin, seni arca besi Malaysia, arca tempa besi tradisional, seni arca Kuala Kangsar, pengarca tersohor negara, seni visual Malaysia
Tukang pandai besi, Raja Shahriman Raja Aziddin, 59, ketika proses membuat arca besi hasil tangannya di bengkelnya di Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Foto ABDULLAH YUSOF 15 JANUARI 2026.

Selepas menamatkan pengajian pada tahun 1990, Raja Shahriman tidak memilih laluan selesa, sebaliknya mendalami seni pertukangan besi tradisional bersama dua tukang pandai besi dari Perak dan Pahang.

Namun, nama Raja Shahriman mula menonjol semenjak penyertaan awalnya dalam Pameran Muda Sezaman Balai Seni Lukis Negara pada akhir tahun 1980-an.

Pameran solo pertamanya, ‘Gerak Tempur’ pada tahun 1996, telah menjadi titik penting buat dirinya yang akhirnya mengukuhkan kedudukannya sebagai pengarca secara serius.

arca besi Raja Shahriman pengarca Raja Shahriman Raja Aziddin, seni arca besi Malaysia, arca tempa besi tradisional, seni arca Kuala Kangsar, pengarca tersohor negara, seni visual Malaysia
Tukang pandai besi, Raja Shahriman Raja Aziddin, 59, menunjukkan buku hasil karyanya di bengkelnya di Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Foto ABDULLAH YUSOF 15 JANUARI 2026.

Sepanjang tempoh menceburi diri sebagai pengarca sepenuh masa, Raja Shahriman berkata, beliau telah menghasilkan antara 300 hingga 400 unit arca daripada saiz kecil hingga ke struktur berskala besar.

Menurut beliau, antara karya awam yang dihasilkan adalah arca setinggi 7.5 meter yang ditempatkan di Waterfront Kuantan selain karya yang menghiasi Bangunan Public Bank di Jalan Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur; Bangunan Perak Darul Ridzuan dan Galeri Sejarah Menteri Besar-Menteri Besar Perak di Kompleks Sejarah Pasir Salak.

“Untuk karya berskala besar seperti itu, model kecil dihasilkan terlebih dahulu sebelum diperbesarkan dengan bantuan kontraktor dan teknologi mesin industri,” katanya.

Raja Shahriman memberitahu, selain peringkat tempatan, arca besi yang dihasilkan juga melangkaui sempadan negara apabila ia berjaya menarik perhatian pengumpul seni arca termasuk dari Singapura, Jepun, Jerman, serta Amerika Syarikat.

Tukang pandai besi, Raja Shahriman Raja Aziddin, 59, menunjukkan arca- arca hasil tangannya di bengkelnya di Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Foto ABDULLAH YUSOF 15 JANUARI 2026.

“Antara pengiktirafan paling signifikan ialah apabila Fukuoka Art Museum, Jepun memperoleh dua unit karya saya pada tahun 1996 untuk koleksi seni kontemporari Malaysia.

“Muzium berkenaan telah memperoleh dua karya saya, antaranya arca berbentuk kerusi raja dengan elemen senjata yang terjual pada harga RM15,000 dan RM25,000. Sehingga hari ini ia masih menjadi sebahagian daripada koleksi mereka,” katanya lagi.

Perjalanan hidup inspirasi siri karya

Raja Shahriman menyifatkan pameran solo sebagai medan paling penting bagi seseorang pengkarya serius untuk mengukuhkan kedudukan dalam industri.

Antara pameran terbesarnya ialah ‘Rhythm of the 21st Century’ di Galeri Petronas pada 2010, yang mempamerkan 20 karya utama termasuk instalasi berskala besar seperti Gejolak Api dan Maharajalela yang menceritakan tentang peperangan.

Tukang pandai besi, Raja Shahriman Raja Aziddin, 59, ketika proses membuat arca besi hasil tangannya di bengkelnya di Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Foto ABDULLAH YUSOF 15 JANUARI 2026.

Terbaharu, pada tahun 2025, beliau bergandingan dengan artis, Hasnul Jamal Saidon dalam pameran Senadi Senafas di Galeri Shah Alam.

Menurut Pemilik Asia Pasific Golden Award 1999 itu, inspirasi seni dalam setiap karya dihasilkan lahir daripada pengalaman hidup, perjuangan peribadi dan pergolakan zaman yang berlaku di sekelilingnya.

Sepuluh siri yang dihasilkan iaitu Gerak Tempur; Api Bayangan dan Kemenyan; Semangat Besi; Nafas; Gerak Langkah; Rhythm of the 21st Century; Kemelut Zaman; Gembala, Mana O…Si Gembala; Lok dan Senadi Senafas masing-masing terlahir dengan penceritaan tersendiri.

Antara arca hasil tangan tukang pandai besi, Raja Shahriman Raja Aziddin, 59, di Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Foto ABDULLAH YUSOF 15 JANUARI 2026.

“Antara koleksi kegemaran saya adalah karya ‘Cempaka Sari’ yang saya siapkan dalam tempoh tiga bulan pada tahun 2016.

“Ia memberi pelambangan tentang haiwan mitos iaitu naga Perak dan alam kayangan Cempaka Sari sebagai sebuah simbol kepada warisan, kuasa dan jiwa Melayu,” katanya lagi.

Tukang pandai besi, Raja Shahriman Raja Aziddin, 59, menunjukkan arca- arca hasil tangannya di bengkelnya di Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Foto ABDULLAH YUSOF 15 JANUARI 2026.

Mengulas lanjut Raja Shahriman berkata, beliau berharap agar diberikan terus dikurniakan kekuatan dalam terus menempa arca besi yang mana ia telah menjadi denyut nadi kepada jiwa dirinya.

arca besi Raja Shahriman pengarca Raja Shahriman Raja Aziddin, seni arca besi Malaysia, arca tempa besi tradisional, seni arca Kuala Kangsar, pengarca tersohor negara, seni visual Malaysia
Tukang pandai besi, Raja Shahriman Raja Aziddin, 59, di Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Foto ABDULLAH YUSOF 15 JANUARI 2026.

Selain itu, beliau juga berharap agar institusi seni tanah air seperti Balai Seni Negara dapat memainkan peranan lebih aktif dalam memperkenalkan seni arca kepada masyarakat dan pelajar.

“Bilangan artis yang menceburi bidang seni komunikasi visual termasuk dalam seni arca ini agak kurang, sedangkan potensinya amat besar.

“Namun, ia memerlukan kemahiran mendalam, modal besar serta kesungguhan yang tinggi. Kalau buat secara ala kadar, memang tidak akan bertahan lama,” ujarnya.

Usaha yang dijalankan Raja Shahriman itu selari dengan aspirasi Pelan Perak Sejahtera 2030 yang mana ‘niche’ atau tumpuan daerah di Kuala Kangsar berpotensi untuk dibangunkan sebagai Koridor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara. – MG Perak

 

 

Artikel Berkaitan:

Muzium Perak perakam sejarah, simbol warisan negara

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI