LENGGONG – Tentera Darat Malaysia (TDM) mengakui berdepan cabaran dalam memastikan tahap kesiapsiagaan berada pada tahap tertinggi susulan sebahagian besar aset yang dimiliki telah berusia.
Panglima Tentera Darat, Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, bagaimanapun pihaknya mengamalkan sistem atau prosedur penyelenggaraan yang cukup teliti terhadap kesemua aset berkenaan.
Katanya, walaupun kekangan peruntukan menghalang pembaharuan menyeluruh, pihaknya kekal komited melaksanakan penyelenggaraan rapi terhadap setiap aset sedia ada bagi memastikan kelancaran operasi dan latihan.
“Kita menghadapi cabaran kerana kita menguruskan aset yang diwarisi. Namun, kita cukup teliti dalam menyelenggarakan aset-aset ketenteraan kita.
“Ia supaya sekurang-kurangnya kesemua aset yang kita ada ini berada pada tahap yang memuaskan dan mampu membantu kita menjalankan tugas dan tanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Serangan Akhir dan Majlis Penutup Eksesais KERIS STRIKE 2025 di FELDA Lawin Selatan, dekat sini, pada Selasa.
Muhammad Hafizuddeain berkata, usaha penambahbaikan aset TDM turut sedang giat dirangka secara menyeluruh menerusi pelaksanaan Pelan Pembangunan Keupayaan Strategik Tentera Darat atau Army 4 Next Generation (Army4NextG).
Kata beliau, pelan tersebut kini diselaraskan dengan hala tuju Angkatan Masa Hadapan demi memperkukuh keupayaan tempur dan sokongan pasukan tentera darat sejajar dengan keperluan operasi masa kini serta jangka panjang.
“Kita memang ada senarai keperluan, kita ada wish list. (Namun) kita tidak mempunyai peruntukan kewangan untuk perolehan yang banyak.
“Jadi kita terpaksa perhalusi setiap rancangan pembangunan keupayaan mengikut keutamaan yang telah ditetapkan dan seiring dengan hala tuju Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Muhammad Hafizuddeain berkata, Eksesais KERIS STRIKE pada tahun ini melibatkan seramai 4,098 anggota Tentera Darat Malaysia, 233 anggota tentera Amerika Syarikat dan 151 anggota tentera Australia.
Kata beliau, penyertaan pegawai penilai dari negara Thailand dan Jepun (Japanese Self-Defense Force) juga menunjukkan peningkatan minat antarabangsa terhadap eksesais yang telah dianjurkan selama lebih tiga dekad.
“Saya berasa puas hati terhadap prestasi ketumbukan yang mengambil bahagian, khususnya dalam serangan akhir yang menggambarkan keberhasilan matlamat eksesais.
“Kita boleh rumuskan ia sebagai bukti kejayaan memperkukuh kebolehlaksanaan bersama antara pasukan serta meningkatkan diplomasi pertahanan dengan negara terlibat,” katanya.
Antara kelainan eksesais tahun ini ialah pelaksanaan latihan menembak sebenar (live firing exercise) di Segari yang berlangsung pada Isnin, turut disaksikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Latihan itu menyaksikan penggunaan sistem Astros II MLRS oleh Tentera Darat Malaysia dan sistem HIMARS oleh tentera Amerika Syarikat, sekali gus memperlihatkan tahap kesiapsiagaan serta keupayaan persenjataan strategik. – MG Perak
Artikel Berkaitan: