Aspek kesihatan pelatih diteliti sebelum jalani latihan – Adly

SUNGAI SIPUT – Kementerian Pertahanan menegaskan bahawa aspek kesihatan adalah keutamaan dalam sebarang bentuk latihan ketenteraan, termasuk program Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) yang melibatkan penyertaan pelatih daripada institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, langkah ini diambil bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini sepanjang tempoh latihan yang bersifat lasak dan mencabar.

Menurutnya,  terdapat kes melibatkan peserta yang tidak memenuhi keperluan kesihatan telah dihantar pulang supaya tidak menanggung risiko semasa menjalani latihan.

“Kalau kita lihat dalam semua program latihan kita termasuk PLKN (Program Latihan Khidmat Negara), aspek kesihatan menjadi perkara penting.

“Sebab itu, maklumat kesihatan bukan sahaja kita dapat daripada peserta, tetapi kita turut menjalankan ujian kesihatan.

“Kadang-kadang kita tak mahu laporan kesihatan itu disembunyikan kerana ia boleh memberi kesan kepada peserta, memandangkan latihan ketenteraan ini agak tegas dari segi fizikal,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu sidang media pada program Veteran Desa Madani (VDM) di Pusat Sehenti Orang Asli (OAOSC) Bawong di sini, pada Sabtu.

Dalam pada itu, mengulas mengenai insiden kematian membabitkan seorang pelatih PALAPES di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) baru-baru ini, Adly berkata siasatan dalaman sedang dijalankan oleh pihak kementerian selain memberi kerjasama penuh kepada pihak polis.

“Kita memang ada kaedah, kalau berlaku kematian atau kecederaan dan ada laporan, apatah lagi laporan polis, kita akan beri kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa. Dalam masa yang sama, pihak kementerian akan buat siasatan dalaman,” katanya.

Beliau menegaskan, sekiranya siasatan mendapati ada unsur jenayah seperti pembulian, ia akan diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

“Kalau berlaku isu yang melibatkan pembulian, kecederaan dan sebagainya, kita serahkan kepada pihak berkuasa. Latihan kita memang agak tegas tetapi kita tidak boleh terima apa-apa bentuk pembulian

“Kita ingatkan juga bahawa siapa sahaja yang melakukan kesalahan, dia akan berdepan dengan dua tindakan, satu daripada pihak kementerian sendiri atau KPT, dan yang kedua, dia harus berdepan juga dengan undang-undang,” ujarnya.

Adly turut memberi jaminan bahawa pihak kementerian tidak akan menyembunyikan sebarang maklumat serta akan meneliti secara menyeluruh semua aspek yang terlibat dalam insiden itu.

“Semua aspek itu kita ambil kira. Siasatan ini adalah bagi memastikan semua pihak diberikan keadilan yang saksama, sama ada ahli keluarga atau pihak pentadbir pusat pengajian tinggi.

“Kita tidak mahu timbulkan apa-apa persepsi. Pihak polis akan buat siasatan dan pihak kementerian juga akan jalankan siasatan dalaman,” katanya.

Semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilaporkan akan menjalankan siasatan terperinci punca kematian seorang pelatih PALAPES UTM Skudai, semasa menjalani latihan di Lapang Sasar Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Darat (PULADA), Ulu Tiram, Johor, Isnin lalu.

Ibu kepada peserta terbabit meminta siasatan telus pihak berwajib terhadap kematian anak lelakinya yang meninggal dunia ketika menjalani latihan tersebut.

Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, mendakwa, anaknya, Syamsul Haris Shamsudin, 22, disyaki menjadi mangsa buli berdasarkan bentuk kecederaan dan luka yang dialami.

Ibu tunggal itu mendakwa, dia dimaklumkan bahawa anaknya mengalami kekejangan atau sawan sebelum kematian, namun kecederaan seperti berdarah pada bahagian mata dan hidung selain lebam pada anggota badan menimbulkan tanda tanya buatnya.

Susulan itu satu laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, semalam bagi menuntut siasatan segera mengenainya dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kematian Syamsul Haris. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Peserta PALAPES maut: Ibu dakwa anak cedera, alami pendarahan teruk

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI