Atlet Muay Thai, takraw terima PJK kurniaan Sultan Perak

KUALA KANGSAR – Atlet Muay Thai negara, Nur Amisha Azril Rizal menyifatkan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) yang diterimanya daripada Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, sebagai pembakar semangat untuk merebut emas di dua kejohanan antarabangsa.

Juara Kejohanan Muay Thai 2023 itu berkata, sebagai anak kelahiran Perak, dia amat bersyukur dan berasa bangga dengan pengurniaan pingat pada Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Perak Darul Ridzuan Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-68 Sultan Nazrin di Istana Iskandariah, di sini, pada Sabtu.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan mengurniakan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) kepada atlet muay thai, Nur Amisha Azril Rizal pada sesi kedua Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Perak Darul Ridzuan Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-68 baginda di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar. Foto ABDULLAH YUSOF, 16 NOVEMBER 2024.

Nur Amisha yang merangkul emas bagi kategori 51 kilogram (kg) Wanita bawah 23 tahun (B-23) pada kejohanan dunia di Bangkok tahun lalu berkata, pingat yang dikurniakan Sultan Nazrin merupakan penghargaan tidak ternilai yang diterima sepanjang kariernya itu.

“Semestinya saya bangga sebagai anak jati Perak dan usaha saya selama ini dalam sukan Muay Thai demi negeri dan negara mendapat penghargaan tidak ternilai.

“Saya juga ingin berkongsi kegembiraan ini bersama mereka yang banyak memberikan sokongan kepada kejayaan saya selama ini terutama sekali ibu, bapa, adik-beradik, jurulatih dan juga rakan-rakan seperjuangan.

Atlet muay thai, Nur Amisha Azril Rizal menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK) pada sesi kedua Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Perak Darul Ridzuan Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ke-68 di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar. Foto ABDULLAH YUSOF, 16 NOVEMBER 2024.

“Tidak lupa juga kepada Persatuan Muay Thai Malaysia dan Majlis Sukan Negeri Perak,” katanya kepada pemberita Ketika ditemui selepas Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Perak Darul Ridzuan Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Nazrin Ke-68 di Istana Iskandariah, di sini, pada Sabtu.

Ditanya mengenai perancangannya selepas ini, Nur Amisha berkata, dia akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada karier profesionalnya dalam sukan Muay Thai di samping menggalas tanggungjawab untuk pasukan kebangsaan sekiranya diperlukan.

“Sasaran utama saya pada 2025 adalah mendapat pingat emas Sukan SEA 2025 di Thailand dan semestinya pingat emas di Kejohanan Muay Thai Dunia,” katanya.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan mengurniakan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) kepada atlet sepak takraw, Meor Mohamad Zulfikar Mat Amin pada sesi kedua Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Perak Darul Ridzuan Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-68 baginda di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar. Foto ABDULLAH YUSOF, 16 NOVEMBER 2024.

Sementara itu, seorang lagi atlet yang menerima PJK daripada Sultan Nazrin, Meor Mohamad Zulfikar Mat Amin berkata, kurniaan yang diterimanya itu merupakan pingat paling tinggi dalam sejarah hidupnya.

Atlet sepak takraw Perak Bison itu berkata, ia juga merupakan pengiktirafan terbaik bukan sahaja kepada dirinya malah juga pasukan sepak takraw negeri.

“Alhamdulillah bagi saya ini salah satu pengiktirafan terbaik dan saya berharap ada pemain takraw lain akan menerima penganugerahan sama seperti saya selepas ini.

Atlet sepak takraw, Meor Mohamad Zulfikar Mat Amin menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK) pada sesi kedua Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Perak Darul Ridzuan Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ke-68 di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar. Foto ABDULLAH YUSOF, 16 NOVEMBER 2024.

“Untuk perancangan masa akan datang dengan adanya pingat ini saya lebih bermotivasi untuk berlatih bersungguh-sungguh membawa kejayaan,” katanya.

Terdahulu, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, berkenan berangkat ke sesi kedua Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Perak Darul Ridzuan sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-68 baginda di Istana Iskandariah.

Baginda berkenan mengurnikan 153 darjah kebesaran dan pingat kepada 14 individu penerima Darjah Ahli Cura Si Manja Kini (ACM), 41 Darjah Ahli Mahkota Perak (AMP), 59 Pingat Pekerti Terpilih (PPT), 29 Pingat Jasa Kebaktian (PJK) dan 10 Pingat Lama Perkhidmatan (PLP). -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Sultan Nazrin Kurnia 153 darjah kebesaran dan pingat

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI