KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan memfasilitasi Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) antara Thailand dan Kemboja yang dijadual berlangsung dari 4 hingga 7 Ogos ini di ibu negara.
Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam kenyataan memaklumkan, mesyuarat tersebut merupakan sebahagian daripada pelaksanaan perjanjian gencatan senjata yang berjaya dimeterai dengan usaha Malaysia sebagai pengantara pada 28 Julai lalu.
Malaysia telah dipilih secara bersama oleh Thailand dan Kemboja sebagai lokasi berkecuali bagi penganjuran mesyuarat penting itu yang bertujuan menyelesaikan pertikaian sempadan antara kedua-dua negara jiran berkenaan.
Antara agenda utama yang akan dibincangkan dalam mesyuarat itu adalah Terma Rujukan (ToR) bagi penempatan Atase Pertahanan sebagai pasukan interim serta cadangan penempatan Kumpulan Pemantau ASEAN bagi mengawasi perkembangan di kawasan sempadan.
Difahamkan, penglibatan ATM dalam fasilitasi berkenaan menandakan komitmen berterusan negara terhadap keamanan dan kestabilan serantau, khususnya dalam konteks ASEAN. – MalaysiaGazette