PARIT – Eko Pelancongan Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) ATV Ride yang dilaksanakan di Kampung Bukit Chupak di sini secara tidak langsung dapat memperkasa pembangunan ekonomi setempat.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Khairudin Abu Hanipah berkata, program tersebut membantu mempromosikan beberapa kampung dalam kawasan jajahan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Bukit Cupak
Menurutnya, program itu juga membantu masyarakat khususnya warga kampung terlibat untuk mereka mencari ruang dan peluang berkaitan dengan ekonomi serta aktiviti-aktiviti yang akan dilaksanakan.
“Saya berharap program ini akan mendapat sambutan yang cukup baik dalam kalangan masyarakat dan boleh menjadi salah satu daya tarikan khususnya bagi orang luar untuk datang ke kawasan Parlimen Parit ini.
“Pada masa sama, saya meminta JPKK lain yang mungkin masih belum menerima waran peruntukan untuk program ini bolehlah merancang, memikirkan apa bentuk kaedah yang sesuai khususnya dalam mempromosikan aktiviti-aktiviti berkaitan dengan SejaTi MADANI,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Eko Pelancongan SejaTi MADANI ATV Ride di Kampung Bukit Chupak di sini petang tadi.
Dalam masa sama, Khairudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belanja berharap pada tahun ini peruntukan yang sama boleh disalurkan kepada organisasi ataupun badan bukan kerajaan (NGO) yang lain.
“Matlamat kita untuk membantu belia, masyarakat ataupun pertubuhan yang berkemampuan untuk melaksanakan program SejaTi MADANI.
“Program SejaTi MADANI adalah satu program yang cukup baik selain daripada membantu masyarakat untuk berorganisasi dan merancang, mereka juga boleh memikirkan apa kekuatan yang ada di kampung masing-masing.
“Selain itu, mereka boleh memberi input, maklumat dan yang pentingnya adalah untuk menambah pendapatan khususnya dalam kalangan masyarakat yang berada di kawasan berkenaan,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: