GERIK – Kementerian Pengangkutan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan Laporan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA) secara besar-besaran ke atas semua syarikat pengendali pengangkutan awam dan kenderaan perdagangan.
Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, langkah itu susulan tragedi yang melibatkan bas dan kenderaan pelbagai guna (MPV) yang berlaku di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Gerik-Jeli sehingga meragut nyawa 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Isnin lalu.
Menurutnya, siasatan yang dijalankan terhadap syarikat pengendali bas terbabit mendapati mereka gagal dalam JISA melibatkan tujuh aspek mandatori.
“Antaranya termasuk keperluan pegawai keselamatan atau penyelia keselamatan (OSH-C), pemantauan kelajuan menerusi sistem kedudukan global (GPS), pematuhan had maksima lapan jam pemanduan, serta keperluan rehat 30 minit bagi setiap empat jam pemanduan.
“Selain itu, syarikat turut gagal memastikan GPS dipasang dalam semua kenderaan, tidak menyediakan pelan tindakan kecemasan (ERP), serta tiada hotline syarikat untuk aduan pelanggan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau lokasi kemalangan dan bangkai kenderaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik di sini pada Khamis.
Anthony memaklumkan, JISA sebelum ini telah dilaksanakan secara berkala dan rawak terhadap syarikat-syarikat pengendali, terutamanya yang dikenal pasti berisiko tinggi atau terlibat dalam kemalangan.
Bagaimanapun, beliau menambah, pendekatan sedia ada tidak mencukupi untuk mengekang ketidakpatuhan dalam kalangan pengendali.
“Prosedur operasi standard (SOP) kita ialah setiap kali berlaku kemalangan, tidak kira kemalangan maut atau kemalangan biasa, audit akan dibuat ke atas syarikat terlibat. Jika didapati tidak patuh, kita akan menggantung operasi mereka,” tegasnya.
Dalam pada itu, Anthony turut mengingatkan semua syarikat pengendali bahawa mereka bertanggungjawab sepenuhnya untuk memastikan pematuhan terhadap semua syarat dan peraturan yang ditetapkan.
“Jangan tunggu JPJ datang buat audit. Buat audit sendiri, pastikan pematuhan dari awal. Syarikat-syarikat ini sepatutnya sudah maklum mengenai syarat-syarat ini, tetapi dari segi pelaksanaan, ia sangat lemah,” katanya.
Katanya, operasi audit secara menyeluruh ini bukan sekadar reaksi kepada kejadian semasa, sebaliknya merupakan langkah memperkukuhkan pemantauan keselamatan secara lebih agresif dan menyeluruh.
“Saya nak beri amaran kepada semua syarikat pengendali, lebih baik buat pematuhan segera sebelum JPJ masuk. Operasi audit secara besar-besaran akan kita laksanakan,” katanya lagi.
Beliau turut menolak dakwaan sesetengah pihak kononnya JPJ tidak pernah menjalankan audit keselamatan sebelum ini.
“Saya nak tegaskan, JISA memang telah dibuat secara berterusan, bukan hanya selepas berlakunya kemalangan. Setiap kali ada kes, termasuk kemalangan kecil atau laporan polis, JPJ akan bertindak,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau berkata, menerusi pelaksanaan audit yang lebih menyeluruh ini, pihak kementerian berharap dapat memastikan tahap keselamatan pengangkutan awam negara terus dipertingkatkan demi keselamatan pengguna jalan raya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Nahas pelajar UPSI: Pemilik syarikat bas tampil beri keterangan semalam