Ayer Kuning Kubu Kuat BN, Naratif PN Tidak Gugat Kemenangan

26 APRIL merupakan hari penentuan bagi pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning memilih seorang daripada tiga calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) menjadi wakil rakyat mereka.

Meskipun ketiga-tiga calon iaitu Dr Mohamad Yusri Bakir (BN), Abd Muhaimin Malek (PN) dan Bawani KS (PSM) dilihat mempunyai kekuatan dari segi latar belakang pendidikan namun sokongan jentera dilihat menyebelahi dua parti utama iaitu BN dan PN.

Ikuti temubual khas Malaysia Gazette Perak (MG) Perak bersama Penganalisis politik Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian berkongsi pandangan beliau sepanjang kempen PRK Ayer Kuning berlangsung.

Bagaimana Datuk melihat dinamik PRK Ayer Kuning ini secara keseluruhan. Apakah yang menjadikan PRK ini signifikan dari sudut politik negeri dan nasional?

Kalau kita perhatikan ini bukan sekadar PRK DUN tetapi menjadi tumpuan kepada semua pihak walaupun tidak akan membawa perubahan diperingkat negeri atau Persekutuan. Tetapi ada segelintir melihat apakah ia boleh dijadikan sebagai petunjuk untuk berhadapan dengan PRU akan datang.

Sudah pasti kita melihat di sini pertembungan di antara dua gabungan besar walaupun ada tiga calon tetapi ia menampakkan kehadapan adalah dua calon besar. Masing-masing menggunakan ruang, peluang dalam tempoh masa berkempen untuk menampilkan agenda, pembaharuan dan juga gagasan yang mahu diangkat. Dalam konteks sepanjang 14 hari ini kita sudah lihat pelbagai isu dibawa baik isu diperingkat negeri, tempatan mahupun nasional.

Bagi peringkat tempatan, rakyat melihat isu-isu berkaitan dengan rutin harian mereka iaitu infrastruktur, pendidikan dan peluang pekerjaan. Apakah akan ada perubahan dari segi keselesaan dan kesejahteraan.

Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia, Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian ditemubual Editor MG Perak, Mohamad Hafizi Mohd Said di Command Center BN di Kampung Haji Tahir, Tapah. Foto ABDULLAH YUSOF, 25 APRIL 2025.

Bagi parti politik ada sebahagiaanya mengangkat isu ini sebagai tekad atau membawa kesejahteraan tetapi ada juga memainkan isu berkenaan agama. Kadang-kadang lumrah dalam konteks politik tanah air isu pendidikan dan agama akan terus dimainkan, misalnya isu hubungan antara UMNO dan DAP.

Kedua isu khinzir dimainkan kerana ia isu sensetif bagi masyarakat Islam tapi bagi masyarakat setempat yang ada di sini sebilangannya tidak tahu kewujudannya, sebilangannya seolah-olah tidak ambil tahu tapi itu diangkat sebagai bahan kempen dan lazimnya turut dimainkan supaya pengundi terpengaruh dari segi emosi.

Dari sudut sejarah pengundian di Perak, adakah Ayer Kuning dilihat sebagai kerusi penanda aras bagi kekuatan Barisan Nasional di selatan Perak?

Itu keunikan dan sesuatu kita anggap agak luar biasa. Satu lagi harus kita lihat bagaimana Ayer Kuning ini merupakan sebuah DUN di bawah Parlimen Tapah bersama Chenderiang.

Parlimen Tapah di bawah MIC, DUN Chenderiang di bawah MCA yang dirampas daripada Bersatu pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2022 manakala Ayer Kuning kekal di bawah BN tidak pernah kalah disandang oleh arwah Ishsam Shahruddin.

Ketiga-tiga parti komponen itu ada di dalam kawasan dan menampakkan kolaborasi di antara ketiga-tiga itu masih utuh dan barangkali itu juga menjadi penanda aras kepada kawasan-kawasan lain bagaimana untuk mencontohi kedudukan di sini tidak kisah parti mana sekalipun tetapi ia menampakkan, mempamerkan bagaimana wujudnya refleksi kepada komposisi kerencaman hubungan antara masyarakat pelbagai etnik di negara kita.

Saya rasakan bahawa itu juga memberi satu kekuatan kepada BN di mana kalau kita lihat pada tsunami 2018 sekalipun pada PRU 2022 sekali pun Ayer Kuning masih kekal di bawah BN dengan majoriti bukan kecil.

Ia seolah-olah ketika berlaku alihan dari segi pemikiran politik di kawasan-kawasan lain di sini masih menampakkan kesungguhan mempertahankan kedudukan itu di bawah BN. Kerana itu untuk PRK kali ini saya rasakan regu SS memainkan peranan penting.

Temubual Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia, Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian di Command Center BN di Kampung Haji Tahir, Tapah. Foto ABDULLAH YUSOF, 25 APRIL 2025.

Regu SS ini ialah Datuk Seri Saarani Mohamad sebagai Menteri Besar Perak dan Datuk Seri M saravanan sebagai Ahli Parlimen Tapah. Datuk Seri Saarani memainkan peranan seolah-olah beliau calon di sini. Kita tahu di Tapah Datuk Seri Saravanan memang sosok digemari dan dihormati berdasarkan peranan dimainkan beliau selama empat penggal di Tapah.

Adakah PRK Ayer Kuning Latar Belakang Calon Mainkan peranan penting atau parti itu sendiri

Kita harus lihat tiga perkara, di mana yang pertama adalah latar belakang calon sebab itu penelitian di buat BN dalam memilih Dr Yusri supaya dapat bertembung dengan latar keagamaan parti Pas.

Kedua dari segi pengundi tegar parti. Kita letak calon macam mana sekalipun mereka yang berpegang kepada soal ketaksuban kepada parti akan memilih calon itu, saya rasa Pas ada kekuatan, BN ada kekuatan.

Ketiga pula dari sudut isu dan bila sampai kepada isu kita lihat isu dibawa turut memainkan peranan untuk mempengarhi pola pengundian disamping calon parti itu sendiri.

Sebab itu kita lihat isu setempat cuba diseimbangi dengan isu keyakinan agama untuk mempengaruhi pengundi tegar dan jika sekiranya ada undi protes ia akan menarik mereka.

Jadi dalam mana-mana konteks pilihan raya saya akan melihat kepada ketiga-tiga konteks ini iaitu pertama pertama calon, kedua parti dan ketiga isu dimainkan.

Dalam konteks Ayer Kuning kuning ketiga-tiga calon memainkan peranan sebab itu mereka mempunyai latar belakang yang baik. Dari sudut parti pula kedua-dua calon ada kekuatan guna tenaga dan jentera cuma PSM barangkali ada kekangngan itu.

Kemudian ketiga-tiga mereka membawa isu yang sama iaitu soal rakyat, apa kemahuan dan keperluan mereka dan cuba memeta pemikiran dalam kalangan pengundi berdasarkan sudut pemikiran.

Ada calon cuba mempengaruhi pengundi dengan memainkan isu tempatan, isu nasional dan ada juga mainkan isu seolah-olah hendak menjadikan ia sebagai referendum. Harus diingatkan ini adalah DUN Ayer Kuning sudah pasti isu tempatan akan diangkat.

Jadi siapa yang mampu melaksanakannya dan menyelesaikannya adalah seseorang yang ada hubungan dengan peringkat negeri dan Persekutuan. Ini memberi kelebihan kepada salah seorang daripada ketiga-tiga calon. MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI