Azam tahun baharu perlu selari dengan syariat Islam

IPOH – Menjelang penghujung tahun 2025, umat Islam diingatkan supaya sentiasa memastikan bahawa azam dan niat yang dirancang bagi tahun baharu dapat dibuat selari dengan tuntutan syariat Islam.

Menurut khutbah Jumaat yang disediakan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), setiap peristiwa dan ujian yang dilalui sepanjang tahun ini hendaklah diterima sebagai ketentuan Ilahi yang mengandungi pelbagai hikmah.

“Azam bukan sekadar perancangan di atas kertas, tetapi menuntut kesungguhan mahu melakukan perubahan.

“Jika tahun lalu kita leka, tahun ini kita hendaklah sedar. Jika tahun lalu kita banyak mengeluh, tahun ini kita hendaknya banyak bersyukur,” katanya.

Teks khutbah Jumaat bertajuk ‘Muhasabah Tahun Berlalu – Azam Tahun Baharu’ itu dibacakan di masjid dan surau diri Jumaat seluruh Perak.

Selain itu, khutbah Jumaat Perak turut menekankan bahawa azam tahun baharu hendaklah dilakukan demi kejayaan di dunia atau duniawi serta di akhirat atau ukhrawi.

Ujarnya, ia termasuk kepada usaha untuk meningkatkan disiplin, kecekapan, dan integriti dalam kerjaya, serta mengamalkan gaya hidup sihat dan menjauhi tabiat yang merosakkan rohani dan jasmani.

“Umat Islam diingatkan untuk memperbaiki hubungan dengan ahli keluarga, jiran, rakan sekerja dan masyarakat.

“Pada masa sama, perlu mengurus perbelanjaan dan kewangan secara berhemah di samping melaksanakan amanah dengan tekun,” ujarnya.

Dalam aspek azam ukhrawi, khutbah Jumaat menekankan perlunya ummah berusaha untuk memperbaiki amal ibadah seperti solat dan puasa, amalan sunat, menjaga akhlak serta meningkatkan keinsafan dan mempelajari ilmu agama.

Menerusi teks khutbah yang sama, JAIPk menyeru umat Islam supaya mengambil peluang menjelang tahun baharu untuk bermuhasabah diri dengan menilai segala amalan dan perbuatan yang telah dilakukan sepanjang tahun ini.

“Muhasabah membolehkan kita sedar akan kekurangan diri, kesilapan yang pernah kita lakukan, sama ada secara sedar dan secara sengaja, ataupun secara tidak sedar dan secara tidak sengaja.

“Muhasabah membolehkan kita merenung kelemahan yang perlu dibaiki dan pada masa yang sama membuat pembetulan serta melakukan perubahan ke arah yang lebih baik.

Menurutnya lagi, beberapa aspek muhasabah yang ditekankan antaranya hubungan dengan Allah SWT yang perlu diisi dengan keinsafan mendalam, serta penilaian jujur terhadap akhlak dan amanah dalam kehidupan seharian.

“Umat Islam perlu bermuhasabah dalam soal peranan ibu bapa dan anak-anak yang menuntut kesedaran bahawa pendidikan bermula dengan teladan.

“Selain itu perlu dinilai semula terhadap peranan setiap ummah dalam masyarakat yang menuntut bahawa setiap insan bersifat penyatu, bukan pencetus perpecahan,” katanya. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

‘Sumbangan jangan dibiar kaku dalam tabung masjid’ –  Khutbah Jumaat Perak

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI