TONG SAMPAH, tandas, longkang, belukar serta tepi jalan antara ‘lokasi popular’ tempat membuang bayi sama ada untuk menyembunyikan kelahiran akibat malu atau menyimpan rahsia daripada menjadi tohmahan masyarakat.
Kebanyakkan kes pembuangan bayi berpunca daripada seks bebas selain ketidakmampuan keluarga menampung kos bayi yang baru lahir sehingga menyebabkan mereka nekad untuk mengambil tindakan sedemikian.
Lebih menyayat hati apabila bayi yang dibuang atau ditinggalkan itu ditemui dalam keadaan tidak bernyawa.
Justeru, Hospital Pakar KPJ Ipoh mengambil inisiatif mewujudkan peti pelindung bayi atau baby hatch untuk ibu meninggalkan bayi yang tidak berdosa di tempat selamat.
Kewujudan baby hatch ini secara tidak langsung dapat membantu mengurangkan kes pembuangan bayi.
Sehubungan itu, MG Perak berkesempatan mengadakan temubual bersama pengasas baby hatch yang juga Pakar Bedah Saraf Hospital KPJ Ipoh, Datuk Dr Fadzli Cheah Abdullah untuk mendapatkan info lanjut berhubung usaha murni ini.
Baby hatch terima 12 bayi sejak 2010
Menurut Fadzli Cheah, baby hatch dirasmikan pada 27 Disember 2010 dan sudah beroperasi hampir 14 tahun.
Beliau berkata, setakat ini pihak hospital telah menerima seramai 12 bayi melibatkan (enam lelaki dan enam perempuan) dengan bayi pertama diterima pada tahun 2011 serta yang terbaharu pada November tahun lalu.
“Masalah ini (buang bayi) masih ada walaupun pelbagai kempen kesedaran dijalankan malah kerajaan juga mengambil insiatif untuk membantu remaja yang mengandung luar nikah dengan menyediakan fasiliti untuk mereka.
“Kita buat baby hatch untuk menerima bayi daripada dibuang merata-rata supaya mereka ada satu tempat perlindungan selepas dilahirkan.
“Sebab itu masa tahun 2010 kita wujudkan baby hatch kerana tidak sanggup melihat tengok kes pembuangan bayi dalam surat khabar, televisyen yang memaparkan gambar yang dahysat berhubung kematian bayi yang dibuang di longkang, bilik air, tepi jalan, belukar.
“Kita rasa bayi yang baru lahir itu tidak berdosa, yang berdosa itu ibu ayah tetapi jadi kita tidak mahu bayi itu menderita dan mengambil pendekatan untuk menyelamatkan mereka,” katanya.
Tinggal bayi di baby hatch bukan kesalahan jenayah
Dalam perkembangan berkaitan, Fadzli Cheah berkata, fasiliti tersebut diwujudkan bagi memudahkan ibu bapa atau keluarga yang buntu mencari jalan penyelesaian untuk menyelamatkan bayi baru lahir.
“Kita tidak mahu denda atau hukum ibu bapa cuma kita sediakan satu tempat kepada ibu bapa yang rasa tidak mampu, malu untuk menjaga anak itu, mereka boleh meletakkan bayi mereka di tempat selamat,” jelasnya.
Cadang perluas baby hatch di kawasan pedalaman
Pada masa sama, beliau berkata, memang terdapat cadangan untuk memperluaskan baby hatch di hospital daerah sekitar negeri ini.
“Kita mempunyai masalah logistik untuk memperluaskan fasiliti tersebut. Jadi, kita akan mengadakan perbincangan dengan HRPB dan Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung cadangan tersebut.
“Ada juga cadangan supaya baby hatch disediakan di masjid atau surau kerana terdapat kes pembuangan bayi di lokasi tersebut namun tiada kepakaran perubatan disediakan dan ia tidak sesuai diwujudkan di situ.
“Bagaimanapun, matlamat utama adalah untuk mewujudkan kesedaran dalam kalangan orang ramai bahawa peti pelindung bayi ini masih beroperasi di hospital ini,” jelasnya.
Bayi ditinggalkan tidak boleh diambil semula
Ujar beliau, tempat perlindungan bayi tersebut diwujudkan bukan untuk menggalakkan aktiviti tidak bermoral tetapi bagi memastikan insan kecil itu diberi peluang untuk hidup membesar seperti kanak-kanak lain.
“Sewaktu tempat perlindungan ini diwujudkan, kita mendapat sokongan kuat daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak serta mendapat kerjasama baik daripada Unit Pediatrik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.
“Baby hatch ini ditempatkan berhampiran Unit Kecemasan dan Trauma dan jika kita menerima bayi yang tidak sihat mereka boleh terus mendapatkan rawatan kerana kita mempunyai prosedur operasi standard (SOP) untuk penerimaan bayi yang ditempatkan di situ.
“Apabila bayi diletakkan di dalam baby hatch secara automatik pintu akan ditutup dan individu yang menghantar bayi itu tidak boleh mengambilnya semula kerana anak kecil itu akan melalui proses pemeriksaan kesihatan dan dirujuk kepada pakar pediatrik sebelum diserahkan kepada JKM untuk urusan seterusnya,” katanya.
JKM, OrphanCARE bantu urusan bayi jadi anak angkat
Sementara itu, Fadzli Cheah berkata, selain JKM, pihak hospital turut bekerjasama rapat dengan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Yayasan OrphanCARE bagi membantu menempatkan bayi-bayi tersebut kepada keluarga angkat.
“Bayi sihat tanpa komplikasi akan diserahkan terus kepada JKM dan sekarang kita bekerjasama lebih rapat dengan OrphanCare supaya bayi yang sihat dapat ditempatkan bersama keluarga angkat masing-masing supaya mereka dapat menjalani hidup dalam keadaan normal,” katanya.
Antara Hospital Pakar KPJ yang menyediakan peti pelindung bayi ini adalah KPJ Tawakkal (Kuala Lumpur), KPJ Damansara dan KPJ Seremban. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Buang bayi dalam parit, dua individu dipanggil polis
TONTON VIDEO:
MGPerak: Baby Hatch Penyelamat Bayi Tidak Berdosa