KUALA LUMPUR – Badan Kehakiman Malaysia mengambil inisiatif menubuhkan Mahkamah Tinggi Khas bagi mendengar perbicaraan kes-kes rasuah dan mendengar rayuan dari Mahkamah Sesyen Khas Rasuah.
Pejabat Ketua Pendaftar, Mahkamah Persekutuan Malaysia dalam satu kenyataan berkata, penubuhan mahkamah khas itu selepas rundingan Hakim Besar Malaya dengan Ketua Hakim Negara susulan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim semalam.
Sebagai permulaan, tambahnya, inisiatif itu akan dimulakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
“Untuk makluman, pada masa ini terdapat empat belas Mahkamah Sesyen Khas Rasuah telah ditubuhkan untuk mendengar kes-kes rasuah di seluruh Malaysia dengan matlamat untuk menyelesaikan kes-kes dalam tempoh setahun dari tarikh pendaftaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Sultan Ibrahim menitahkan terdapatnya keperluan untuk menyediakan hakim yang berpengalaman untuk mendengar kes rasuah dan supaya laluan khas disediakan di mahkamah supaya perbicaraan kes rasuah di mahkamah dapat diselesaikan dengan segera.
Sultan Ibrahim bertitah demikian sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Parlimen Ke-15 di Dewan Rakyat. – MalaysiaGazette


