IPOH – Lembaga Air Perak (LAP) menerusi Notis Gangguan Bekalan Air Luar Jangka memaklumkan berlakunya gangguan bekalan air di Bagan Datuk dan Slim River mulai hari ini.
Menurutnya, gangguan bekalan air tersebut berlaku susulan kebocoran paip 1,000 milimiter (mm) di Batu 5, Jalan Hutan Melintang, Bagan Datuk.
Katanya, antara kawasan yang terjejas melibatkan Matang Guntung termasuk Kampung Sungai Durian dan sepanjang laluan dari Batu 5, Jalan Hutan Melintang hingga ke Simpang Empat serta sekitarnya.
“Kawasan lain yang turut terlibat adalah sekitar Simpang Empat Hutan Melintang hingga ke Kampung Sungai Manila serta Jalan Tepi Sungai Hutan Melintang,” katanya menerusi Facebook Lembaga Air Perak ADMIN pada Rabu.
Kenyataan itu turut memaklumkan, gangguan bekalan air turut berlaku di Slim River berikutan paip 200mm ductile iron yang pecah berhadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim.
“Kawasan yang terlibat adalah Pejabat Pendaftaran Slim River, IPD Muallim, Kampung Kurnia, Pejabat Tanah Muallim, Hospital Slim River, Masjid Sultan Idris Shah, Taman Krishnan, Bandar Baru dan Taman Slim Indah.
“Antara lokasi lain yang turut terlibat termasuklah Petronas Slim River, Plaza Tol Slim River, Rumah Awam 2 dan Taman Bukit Slim,” ujarnya.
Katanya, tempoh gangguan bekalan bagi kawasan terlibat dijangka pulih setelah kerja-kerja pembaikan selesai dilaksanakan.
Sebelum ini media melaporkan, kira-kira 50,000 akaun pengguna LAP di Tapah, Bidor dan Teluk Intan mengalami gangguan bekalan air sejak 6 Februari lalu.
Masalah itu dipercayai berpunca daripada kebocoran saluran paip air mentah dari Intake (muka sauk) Batu 7 Sungai Woh yang menyalurkan air ke Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Temoh yang berlaku sejak 4 Februari lalu. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
LRA Bukit Temoh kini beroperasi semula 50 peratus
Gangguan bekalan air di Tapah, Bidor, Teluk Intan dijangka pulih mulai esok