TANJUNG MALIM – Polis mengesahkan keadaan terkawal dan tiada ancaman keselamatan terhadap orang awam susulan insiden tumpahan bahan kimia di sebuah kilang di kawasan Perindustrian Proton City di sini pada Khamis.
Timbalan Ketua Polis Daerah Muallim, Deputi Superitenden Suhaimi Muhamad berkata, siasatan mendapati kejadian itu menyebabkan 23 pekerja mengalami sesak nafas selepas dipercayai terhidu bahan kimia jenis isocyanate.
Beliau berkata, pihaknya menerima makluman daripada Klinik Kesihatan Tanjung Malim sekitar jam 2.20 petang selepas beberapa mangsa hadir mendapatkan rawatan kerana terhidu bahan kimia.
“Hasil siasatan mendapati seramai 23 orang pekerja warga tempatan telah terlibat dan mengalami simptom selepas terhidu bahan kimia ketika melakukan kerja-kerja penyenggaraan kilang berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Katanya, kesemua mangsa lelaki yang berusia antara 19 hingga 45 tahun telah dihantar ke Hospital Slim River untuk menerima rawatan lanjut dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Tambahnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tanjung Malim turut dikerahkan ke lokasi kejadian bagi melaksanakan kerja-kerja pembersihan serta proses nyah cemar terhadap bahan kimia yang terlibat.
Terdahulu, media melaporkan kejadian itu dipercayai berpunca daripada kebocoran pada sistem paip di premis berkenaan yang mengakibatkan tumpahan bahan kimia jenis isocyanates dianggarkan sebanyak 15 liter. – MG Perak
Artikel Berkaitan: