IPOH – Penggunaan bahasa kolokial dan bahasa dialek dalam kalangan masyarakat di negara ini perlu dipertahankan supaya tidak pupus dipengaruhi kemodenan dan kecanggihan teknologi.
Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang berkata, pengunaan media sosial merupakan antara faktor yang boleh mempengaruhi penggunaan bahasa kolokial yang semakin menipis dalam kalangan generasi muda.
Menurutnya, perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku kerana keberdayaan sesuatu bahasa itu akan terkesan melalui penggunaan bangsa yang menuturkannya.
“Sehubungan itu, penggunaan bahasa natif ini akan semakin berkurangan dan berlaku dalam kelompok yang kecil sahaja sehingga menyebabkan ia akan pupus dan hilang jati dirinya.
“Justeru, perkara ini tidak boleh dipandang remeh dan perlu diambil tindakan yang sewajarnya,” katanya sempena program Bicara Bahasa Kolokial: Melestarikan Keberdayaan Bahasa Komuniti ‘Moh Labun Loghat Perak’ di Hotel Impiana, di sini, pada Khamis.
Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Azman Mohd Yusof.
Hadir sama, Ketua Pengarah Arkib Negara, Datuk Jaafar Sidek Abdul Rahman.
Dalam pada itu, Aaron Ago berkata kedudukan Perak yang strategik dan bersempadan dengan banyak negeri menyumbang kepada perkongsian budaya dan penggunaan dialek yang hampir sama dengan negeri yang berhampiran.
“Di utara misalnya, negeri ini bersempadan dengan Kedah dan Seberang Prai, Pulau Pinang, serta selatan Thailand, manakala di bahagian timur pula, Perak bersempadan dengan Kelantan.
“Sebelah selatan pula, Perak bersempadan dengan Selangor, manakala di bahagian barat pula bersempadan dengan Selat Melaka,” katanya.
Ujar beliau, tidak hairanlah bahasa kolokial yang digunakan oleh penduduk setempat diresapi oleh dialek negeri yang bersempadan dengannya.
“Sebagai contoh, dialek Pattani di daerah Hulu Perak dan Larut Matang dan Selama; dialek Kedah di Taiping dan kawasan ke utara serta dialek Selangor di daerah Ipoh dan ke selatan.
“Bahasa pertuturan Perak yang asli adalah bahasa dialek yang dituturkan oleh penduduk di Kuala Kangsar dan Perak Tengah,” jelasnya.
Tambah beliau, faktor geografi atau muka bumi, migrasi, sejarah dan demografi juga memainkan peranan penting dalam penggunaan bahasa yang dituturkan.
“Bahasa pertuturan yang digunakan memainkan peranan penting dalam pengukuhan sikap toleransi dan jalinan silaturahim yang seterusnya memperteguhkan ikatan perpaduan antara kaum yang tinggal di negeri ini,” katanya. – MG Perak
[…] Bahasa kolokial, dialek perlu dipertahan supaya tidak pupus […]