Bahulu Bakar Sabut Ayoi jadi persinggahan pelancong ke Lumut

PEMBUATAN bahulu menggunakan kaedah tradisional terutamanya sabut kelapa menjadikan kuih berkenaan beraroma dan garing serta lebih enak daripada dibakar menggunakan ketuhar.

Bagaimanapun, selari dengan arus pembangunan kaedah menyediakan kuih tradisional berkenaan menggunakan cara ‘lama’ semakin berkurangan ekoran penyediannya yang memerlukan kesabaran dan berhadapan dengan panas serta asap.

Namun begitu, bahulu yang dibakar menggunakan sabut kelapa ini masih mendapat permintaan yang tinggi terutamanya dari mereka yang berusia memandangkan kenangan membesar menjamah kuih berkenaa semasa menyambut Aildilfitri semasa kecil hingga muda.

Pekerja Bahulu Bakar Sabut Ayoi membakar kuih bahulu secara tradisional menggunakan sabut kelapa untuk dijual kepada pelanggan menjelang Hari Raya Aidilfitri di Lumut.
Kuih bahulu yang dibakar menggunakan cara tradisional ini menjadikan kuih yang dihasilkan cepat masak, berbau wangi dan lembut. Foto ABDULLAH YUSOF, 27 MAC 2025.

Bagi pengusaha Bahulu Bakar Sabut Ayoi, di Jalan Teluk Muroh, Lumut, Syahrul Imran Iskandar Nor, 27, membesar dalam kalangan ahli keluarga yang mengusahakan perniagaan berkenaan memberi beliau peluang meneruskan warisan.

Bekas penuntut seni kulinari dari Institut Makanan Malaysia itu berkata, perniagaan yang dimulakannya pada 2020 itu kini menjadi sumber pendapatannya bersama isteri Siti Aishah Aini Hishamudin, 27.

Bercakap kepada Malaysia Gazette (MG) Perak, Syahrul Imran berkata, pada mulanya dia tidak pernah merancang untuk membuka perniagaan berasaskan bahulu meskipun neneknya di Bahau, Negeri Sembilan mengusahakan jualan kuih berkenaan sejak 1982.

“Semuanya bermula apabila saya tamat pengajian saya pulang ke kampung nenek dan kemudian saya cuba belajar dengan dia cara membuat bahulu bakar sabut ini.

Pengusaha Bahulu Bakar Sabut Ayoi, Syahrul Imran Iskandar Nor, 27. Foto ABDULLAH YUSOF, 27 MAC 2025.

“Masa itu PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dan saya tiada kerja jadi saya tolong nenek dengan memasak bahulu kemudian menjualnya dari kampung ke kampung menaiki motosikal.

“Bila sudah mula saya melihat ada peluang untuk buat duit sebab bahulu bakar sabut ini jarang kita jumpa dia lain dari yang lain dan sambutan pula sangat menggalakan,” katanya.

Rentetan itu dia kemudian mula memberi perhatian sepenuhnya dalam mengusahakan jualan kuih berkenaan sehingga berjaya membuka kedai di Terachi, Kuala Pilah pada 2023.

“Alhamdulillah kalau dahulu saya naik motor kampung ke kampung jual bahulu bila ada kedai orang singgah dan beli,” katanya.

Buka Bahulu Bakar Sabut Ayoi di Lumut selepas berkahwin

Menceritakan bagaimana dia memulakan perniagaan Bahulu Bakar Sabut Ayoi di Lumut, Syahrul Imran berkata ia selepas mendirikan rumah tangga bersama orang Manjung pada 2024.

Jelasnya, dia juga melihat peluang untuk meluaskan perniagaan bahulu keluarganya itu di Perak memandangkan kedainya di Kuala Pilah sudah stabil.

“Saya berkahwin dengan orang Manjung jadi saya rasa di sana (Kuala Pilah) sudah ada orang yang boleh urus jadi ini peluang untuk mengembangkan bahulu bakar sabut di Perak.

Pengusaha Bahulu Bakar Sabut Ayoi, Syahrul Imran Iskandar Nor, 27, menyusun kuih bahulu yang dibakar secara tradisional menggunakan sabut kelapa untuk dijual kepada pelanggan menjelang Hari Raya Aidilfitri di Lumut.
Kuih bahulu yang dibakar menggunakan cara tradisional ini menjadikan kuih yang dihasilkan cepat masak, berbau wangi dan lembut. Foto ABDULLAH YUSOF, 27 MAC 2025.

“Alhamdulillah sudah tujuh bulan saya berniaga di sini (Jalan Teluk Muroh) yang merupakan laluan ramai untuk ke Teluk Batik dan Pulau Pangkor,” katanya.

Syahrul Imran berkata, dia tidak menyangka keputusan membuka bahulu bakar sabut di Lumut memberi peluang kepada orang luar yang berkunjung ke lokasi pelancongan itu merasa kuih tradisional itu.

Malah katanya, pengikutnya di laman sosial TikTok yang sering menonton siaran langsungnya ketika menghasilkan bahulu sanggup berkunjung ke Lumut demi menikmati kuih berkenaan.

“Sambutan yang saya terima sangat luar biasa walaupun baharu tujuh bulan beroperasi dan lebih bermakna saya dapat memberi sumbangan kepada pelanconga di Pulau Pangkor dan Teluk Batik.

“Bila mereka tonton live saya mereka hadir ke sini untuk membeli bahulu dan masa sama mereka dapat melancong ke Pula Pangkor dan Teluk Batik,” katanya.

Pelanggan lihat kaedah pembuatan bahulu bakar kerana mengimbau kenangan

Ditanya mengenai kaedah pembuatan dan keistimewaan Bahulu Bakar Sabut Ayoi, Syahrul Imran berkata, aroma asap sabut kelapa yang digunakan bagi membakar bahulu menjadikan kuih berkenaan lebih sedap.

Pekerja Bahulu Bakar Sabut Ayoi membakar kuih bahulu secara tradisional menggunakan sabut kelapa untuk dijual kepada pelanggan menjelang Hari Raya Aidilfitri di Lumut.
Kuih bahulu yang dibakar menggunakan cara tradisional ini menjadikan kuih yang dihasilkan cepat masak, berbau wangi dan lembut. Foto ABDULLAH YUSOF, 27 MAC 2025.

Katanya, rasa ‘smoky’ yang ada pada bahulu tersebut turut menjadi pilihan kepada penggemar kuih tradisional ini.

“Kesitimewaan kita adalah cara kita buat yang mana lain daripada lain. Macam sekarang kita tengok orang bakar pakai ketuhar, tetapi saya mengekalkan bahulu bakar sabut.

“Ia cukup digemari oleh pelangga yang berusia 30 tahun ke atas yang juga pelanggan paling ramai berbanding orang muda sekita 20an.

“Malah ada pelanggan yang datang ke kedai kami menghabiskan masa melihat kami menyediakan bahulu bakar sabut ini kerana dikatakan mengimbau kenangan lama bersama nenek-nenek mereka semasa kecil,” katanya.

Menurut beliau lagi, setiap hari dia akan menyediakan 70 hingga 80 bekas bahulu bakar kecuali pada hari Isnin yang merupakan hari kedainya ditutup.

Katanya lagi, jumlah bahulu yang dihasilkan akan ditambah melebihi 100 bekas sehari pada hari Sabtu, Ahad dan cuti umum. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI