IPOH – Rakyat di Negeri Perak menzahirkan harapan agar kerajaan negeri dapat terus berusaha dalam memastikan setiap rakyat di negeri ini dapat memiliki kediaman yang baik dan selesa.
Justeru pengumuman Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berhubung inisiatif pemilikan rumah menerusi pembentangan Belanjawan Negeri Perak 2025 disifatkan sebagai berita baik, terutama kepada yang ingin memiliki rumah pertama.
Penjawat awam, Muhammad Fazril Zulkhifly, 32, berkata, pengumuman yang dibuat Saarani itu sebagai langkah berterusan kerajaan negeri dalam mengatasi isu perumahan yang membelenggu rakyat khususnya golongan muda.
Katanya, melalui belanjawan yang dibentangkan itu, diharapkan agar agensi kerajaan negeri yang bertanggungjawab dapat memainkan peranan dalam mempermudahkan golongan itu untuk memiliki rumah.
“Justeru saya berharap pada masa hadapan kerajaan negeri dapat terus memberi fokus dan dapat meningkatkan peruntukan dalam soal perumahan rakyat.
“Usaha ini secara tidak langsung dapat membantu rakyat terutama kepada golongan muda dalam memiliki kediaman sendiri,” katanya ketika ditemui MG Perak.
Sementara itu, kakitangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri, Mohammad Hazrul Rozaidi Abdul Manan, 31, pula berkata, program Pinjaman Rumah Perakku Prihatin antara yang menarik perhatiannya.
Jelasnya, inisiatif itu sangat memberi manfaat kepada rakyat terutama golongan muda yang mengimpikan rumah pertama mereka.
Kata Mohammad Hazrul, soal perumahan mampu milik penting dalam memastikan masyarakat mempunyai ruang untuk membina keluarga dalam persekitaran yang selesa.
“Antara cabaran yang dihadapi sebahagian besar rakyat ketika ini dalam memiliki kediaman adalah dari sudut harga yang dijual di pasaran agak tinggi.
“Malah bagi golongan muda pula, mereka berhadapan dengan soal gaji yang rendah, terutama yang baru memulakan pekerjaan. Ini antara masalah yang dihadapi kami dalam hal pemilikan rumah,” tambahnya.
Melalui Belanjawan Negeri Perak 2025 yang dibentangkan Menteri Besar baru-baru ini, kerajaan negeri memperuntukkan RM2.7 juta di bawah Akaun Amanah Ladang Masyarakat Kledang Mas bagi meneruskan Program Sayangi Rumahku.
Selain itu RM5 juta disalurkan bagi pelaksanaan program Pinjaman Rumah Perakku Prihatin, sementara RM3 juta diperuntukkan kepada Lembaga Perumahan Dan Hartanah Perak (LPHP).
Jelas Saarani ia meliputi meliputi RM2 juta untuk penyelenggaraan Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Rancangan Perumahan Awam (RPA) serta RM1 juta bagi penyelesaian isu hakmilik strata Rumah Pangsa Taman Bersatu, Kampung Boyan, di Taiping. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Belanjawan Perak 2025: MB Perak sebak sentuh isu perumahan rakyat