IPOH – Kerajaan Negeri Perak memperuntukkan bantuan khas bernilai RM1,000 setiap seorang kepada kira-kira 3,000 bakal jemaah haji Perak bagi musim haji 1447/2026M.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, inisiatif yang julung kali diadakan itu melibatkan implikasi kewangan negeri sebanyak RM3 juta.
“Warkah belanjawan ini juga membawa khabar gembira kepada bakal-bakal jemaah haji negeri Perak.
“Buat julung kalinya, kerajaan negeri akan memperuntukkan RM1,000 seorang kepada kira-kira 3,000 bakal jemaah haji Negeri Perak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Pembentangan Belanjawan Perak 2026 pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Ketiga Dewan Negeri Perak Yang ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Selasa.
Mengekalkan tema ‘Perak Makmur, Rakyat Sejahtera’, belanjawan berkenaan menggariskan lima fokus utama iaitu Kesejahteraan Rakyat; Tadbir Urus Projek Berkepentingan Negeri; Pembangunan Modal Insan dan Belia; Kelestarian Alam Sekitar; dan Keterjaminan Bekalan Makanan.
Belanjawan Perak 2026 yang dibentang dengan jumlah RM1.61 bilion itu merupakan yang tertinggi dalam sejarah negeri.
Terdahulu Saarani menegaskan bahawa, kerajaan negeri tidak pernah berganjak daripada tanggungjawab memelihara dan memartabatkan syiar Islam sebagai agama rasmi.
Justeru kata beliau, sebagai institusi utama menegakkan syiar Islam negeri, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) menerima peruntukan tambahan RM18.9 juta, menjadikan dana keseluruhan yang diterima bernilai RM130.8 juta.
“RM123.9 juta diperuntukkan bagi tujuan operasi jabatan, Institut Tadbiran Islam Perak, pengurusan masjid, Sekolah-Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan serta Sekolah-Sekolah Menengah Agama Negeri.
“Manakala RM6.9 juta disediakan untuk penyelenggaraan enam masjid utama Negeri, menaik taraf Sekolah-Sekolah Menengah Agama Negeri dan Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan serta menaiktaraf Pejabat-Pejabat Agama Daerah,” tambah beliau. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Kumpulan pertama jemaah haji berlepas ke Tanah Suci pagi tadi


