TELUK INTAN – Seorang pencuci kereta yang bakal melangsungkan perkahwinan bulan hadapan dihukum penjara empat tahun dan dikenakan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, selepas mengaku bersalah merompak minuman keras dan wang tunai berjumlah RM145 di sebuah kedai serbaneka 24 jam, 9 Julai lalu.
Tertuduh, S Nervin Rao, 33, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Intan Nurul Farena Zainal Abidin.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa telah merompak wang tunai berjumlah RM145 dan dua tin minuman keras di kaunter sebuah kedai serbaneka 24 jam di Jalan Bandar, di sini pada jam 5.14 pagi, 9 Julai lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebat jika sabit kesalahan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam sambil menangis memohon mahkamah supaya mengenakan hukuman ringan kerana menyesal atas perbuatannya.
Mahkamah kemudiannya memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap pada 11 Julai.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya R Rishan Kumar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sementara itu, dalam prosiding berasingan di Mahkamah Majistret, Nervin Rao turut mengaku bersalah atas pertuduhan mencuri dua tin minuman keras.
Dia membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret T Ashvinii.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut di lokasi dan tarikh yang sama pada jam 4.15 pagi.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun serta boleh dikenakan denda dan bagi kesalahan kedua boleh dihukum penjara serta dikenakan denda atau sebat.
Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara lima bulan bermula hari ini.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Izzudin Fakri Hamdan manakala tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Faustina Francis. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Kes cederakan ibu: Mahkamah arah lelaki jalani rawatan psikiatri