Baki SARA tinggal RM2.70, MyKad lama didakwa disalah guna

IPOH – Selepas menerima tiga aduan berhubung dakwaan MyKad digunakan individu lain bagi menebus bantuan RM100 Sumbangan Asas Rahmah (SARA) baru-baru ini, Ketua Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional (BN) Perak, Mohd Rawi Abdullah tidak menyangka beliau sendiri turut menjadi mangsa kejadian sama.

Mohd Rawi berkata, perkara itu disedarinya pada 30 September lalu selepas semakan mendapati baki bantuan SARA menerusi MyKad miliknya hanya tinggal RM2.70, sedangkan beliau belum pernah membuat sebarang penebusan.

Menurutnya, kejadian itu berkemungkinan berlaku akibat penyalahgunaan MyKad lamanya yang pernah hilang pada Julai lalu oleh individu tidak bertanggungjawab.

“Saya meminta isteri membuat penebusan bantuan RM100 SARA menggunakan MyKad saya di sebuah kedai serbaneka di Ipoh Garden dua minggu lalu. Namun, pekerja premis memaklumkan baki bantuan SARA saya hanya tinggal RM2.70.

“Saya menyangka MyKad lama akan terbatal secara automatik sebaik kad baharu dikeluarkan. Tetapi insiden ini seolah-olah membuktikan sebaliknya apabila kad lama saya yang sudah hilang masih boleh digunakan,” katanya dalam sidang media di sini pada Isnin.

Mohd Rawi berkata, susulan daripada kejadian itu, satu laporan polis telah dibuat berhubung di Balai Polis Sungai Senam, dekat sini, pada 7 Oktober lalu.

Beliau memberitahu, kejadian itu bukan sahaja melibatkan kerugian kecil, malah menimbulkan kebimbangan terhadap kemungkinan penyalahgunaan identiti oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Bayangkan kalau individu itu guna MyKad lama saya untuk buat transaksi kewangan atau terlibat dengan jenayah, sudah pasti saya yang akan menanggung akibatnya,” jelasnya.

Justeru Mohd Rawi meminta orang ramai agar lebih berhati-hati dan mengambil tindakan pantas dengan melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya kehilangan MyKad.

Pada masa sama beliau juga menggesa agar pihak berwajib untuk tidak melihat perkara itu sebagai kes terpencil, sebaliknya mengambil serius agar ia tidak berulang kepada individu lain.

“Isu ini bukan hanya melibatkan kerugian peribadi, tetapi juga keselamatan data peribadi seluruh rakyat.

“Saya berharap pihak berkuasa mengambil perkara ini dengan serius dan memperkukuh sistem bagi mengelak kejadian serupa berulang,” jelas beliau. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Kor Ming derma bantuan SARA kepada anak yatim

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI