Balai Gambang Cempaka Sari rosak akibat cuaca panas

IPOH – Struktur Balai Gambang Cempaka Sari yang dibina sempena Istiadat Pertabalan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada Mei 2015 mengalami kerosakan teruk akibat faktor cuaca panas melampau.

Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dalam satu kenyataan menjelaskan, ia semakin meruncing apabila paras Sungai Perak surut ke paras terlalu rendah pada Mac hingga Disember tahun lalu.

Katanya, walaupun pihaknya telah melakukan kerja-kerja baik pulih yang berterusan, namun struktur Balai Gambang yang usang menjadikan pengoperasiannya tidak dapat diteruskan kerana dibimbangi membahayakan keselamatan pengunjung.

Jelas kenyataan sama, PKNP dalam proses fasa akhir bagi menyerahkan semula kenderaan itu kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak untuk diperbaiki dan diselenggar sepenuhnya.

balai gambang cempaka sari rosak cuaca sungai perak rendah balai gambang cempaka sari rosak cuaca sungai perak rendah
Keadaan terkini Balai Gambang Cempaka Sari yang tidak beroperasi. – Foto ihsan NOR HISHAM ZULKIFLEE

“PKNP telah mengadakan perbincangan dengan pihak JKR Perak bagi usaha untuk membaik pulih dan menyelenggara keseluruhan Balai Gambang Cempaka Sari yang dianggarkan lebih kurang RM100,000 sebagai usaha memulihara dan mengekalkan khazanah warisan.

“JKR Perak turut meninjau keadaan Balai Gambang itu pada November tahun lepas dan telah mengenal pasti jenis kerosakan yang meliputi tiang dan dinding yang reput, kertas dinding lusuh dan koyak serta kebocoran lantai pada bahagian tengah.

“Dalam masa sama, PKNP sedang mengadakan perbincangan dengan Muzium Perak untuk menjadikan Balai Gambang sebagai bahan pameran warisan bersejarah di Negeri Perak,” kata kenyataan itu, pada Rabu.

Selain itu, PKNP memaklumkan Balai Gambang Cempaka Sari telah diserahkan kepada pihaknya oleh JKR Perak selepas sempurna Istiadat Pertabalan Sultan Perak pada 2015 bagi tujuan tarikan pelancongan di Kuala Kangsar.

Katanya, kenderaan yang digunakan menelusuri Sungai Perak itu terhenti operasi akibat penularan COVID-19 dan beroperasi semula Februari 2022 pada setiap hujung minggu, dengan 644 pengunjung direkodkan pada suku tahun pertama 2023.

Menurut kenyataan itu lagi, Balai Gambang yang digerakkan dengan tiga enjin masing-masing berkuasa kuda 150 cc itu mampu membawa 25 orang penumpang dengan jangka masa pelayaran sekitar 30 hingga 40 minit.

“Balai Gambang yang wujud sejak tahun 1754 dibina bersempena pertabalan sultan baharu dan ia menjadi simbolik kepada Kesultanan Melayu Perak.

“Kenderaan itu dibina khas menggunakan material yang khusus untuk upacara istiadat Pertabalan Sultan Perak ke-35 oleh 35 kakitangan JKR Perak serta 13 tenaga pakar dan pelajar.

“Mereka terdiri dari Institut Teknologi Kejuruteraan Marin, Universiti Kuala Lumpur Malaysia (UniKL MIMET) Lumut, selain Balai Gambang itu mempunyai jangka hayat terhad berbanding kapal biasa.

“Selepas istiadat pertabalan tersebut, Balai Gambang Cempaka Sari telah diserahkan kepada PKNP oleh JKR Perak bagi tujuan tarikan pelancongan di Bandar DiRaja Kuala Kangsar,” jelas kenyataan itu lagi.

balai gambang cempaka sari rosak cuaca sungai perak rendah balai gambang cempaka sari rosak cuaca sungai perak rendah
Keadaan Balai Gambang Cempaka Sari sekitar tahun 2022. foto FB BALAI GAMBANG CEMPAKA SARI

Ahad lalu, sebuah media melaporkan pengunjung ke Kuala Kangsar didakwa kecewa kerana tidak dapat belayar di Sungai Perak akibat kerosakan Balai Gambang Cempaka Sari.

Balai Gambang itu signifikan digunakan sebagai kenderaan rasmi air di Sungai Perak bagi tujuan pertabalan Sultan Perak.

Mengikut tradisi di Perak, setiap Sultan ada Balai Gambang tersendiri ketika pertabalan dan Balai Gambang Cempaka Sari dibina khas bagi kegunaan Sultan Nazrin. -MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

MPKK mohon RM1.2 juta baiki Kolam Renang Kuala Kangsar

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI