Balai Polis baharu Kampung Beng selari dengan pembangunan

LENGGONG – Sebuah balai polis baharu akan dibina di Kampung Beng menerusi inisiatif Kampung Angkat Madani di bawah kelolaan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, projek tersebut akan dibangunkan di tapak tanah yang diluluskan Kerajaan Negeri Perak.

Menurut beliau, pembinaan pembinaan balai polis tersebut akan menggunakan sebahagian dana RM2.5 juta yang diperuntukkan bagi inisiatif Kampung Angkat Madani KDN dan dijangka siap sebelum akhir tahun ini.

“Keperluan bagi mewujudkan balai polis baharu ini adalah tepat selari dengan pembangunan kawasan Kampung Beng dan sekitarnya sebagai lokasi tumpuan pelancong.

“Saya juga dimaklumkan kampung ini juga akan bertambah sibuk kerana nanti akan ada jalan baharu yang membolehkan laluan ke Pantai Timur melewati kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Kampung Angkat Madani Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Kampung Beng, di sini, pada Ahad.

Turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, sebagai permulaan pihaknya akan mendirikan sebuah pondok polis terlebih dahulu sementara menunggu laluan utama disiapkan.

“Tahun ini kita akan adakan pondok polis dahulu kemudian apabila siap laluan utama, pondok ini akan dinaik taraf kepada balai polis sesuai dengan keperluan kekuatan anggota dan nisbah penduduk di kawasan ini,” katanya.

Sementara itu, Saifuddin berkata, pemilihan Kampung Beng sebagai kampung angkat seliaan KDN adalah berdasarkan potensi besar yang dimiliki kawasan itu untuk dibangunkan secara intensif terutama aspek prasarana dan akses kepada komunikasi.

Katanya, bagi mencapai matlamat itu, KDN telah menyusun beberapa inisiatif lain untuk dimanfaatkan penduduk kampung termasuklah menaik taraf kemudahan internet dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM).

Ujar beliau, komponen lain yang diberi perhatian adalah menyediakan kemudahan dua bot bagi tujuan rondaan pemantauan keselamatan di jeti dan tasik yang menjadi laluan utama pelajar sekolah.

“Kita akan buat perolehan baru bagi mendapatkan bot polis yang sesuai malah kita juga menimbang untuk semak rekod inventori dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sekiranya mereka mempunyai bot-bot yang sesuai digunakan bagi tujuan rondaan di tasik ini,” katanya.

Beliau memberi jaminan, semua projek berkenaan yang memberi manfaat kepada hampir 4,000 penduduk dilaksanakan dalam tempoh tahun ini juga.

“Ini semua adalah kompenan yang boleh kita ukur. Kita akan cuba selesaikan bermula sekarang hingga Disember nanti, ” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI