NEGERI Perak sememangnya terkenal dengan kepelbagaian masyarakat yang hidup harmoni, di samping terdiri daripada pelbagai kaum, etnik dan budaya.
Dari muzik tradisional Melayu, Cina dan India sehinggalah kepada seni persembahan komuniti Orang Asli, setiap kelompok masyarakat memainkan peranan penting dalam mewarnai landskap budaya di negeri ini.
Bagi masyarakat Orang Asli khususnya dalam hal seni dan budaya, ia sudah menjadi sebahagian daripada identiti mereka yang diwarisi sejak zaman-berzaman.
Justeru, tidak hairan apabila bakat anak muda masyarakat berkenaan dalam bidang muzik sentiasa menyerlah dan mendapat tempat di ruang-ruang arus perdana.
Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu. Begitulah rezeki ahli kumpulan muzik Orang Asli dari Kampung Tumboh Hangat di Bota, Parit apabila dinobatkan sebagai juara Asli Battle Of The Band (ABOTBA) Perak 2025 pada Ahad lalu.
Bertempat di pekarangan Stadium Ragbi, Kompleks Sukan Ipoh bersempena Karnival Anak Muda (KAMU) 2025, kumpulan ‘Mijo’s’ berjaya menewaskan empat finalis lain dan membawa pulang wang tunai RM2,000 beserta piala.
Wakil kumpulan, Reza Ezani Rajemi, 20, berkata, ia merupakan pengalaman sulung mereka dalam menyertai sesebuah pertandingan muzik walaupun kumpulan itu telah ditubuhkan sejak 10 tahun lalu.
“Lazimnya kami hanya membuat persembahan pada acara-acara lain seperti majlis korporat, dan kenduri perkahwinan. Untuk pertandingan seperti ‘battle of the band’ ini adalah pengalam kali pertama,” katanya.
Kumpulan Mijo’s dinobatkan juara ABOTBA Perak 2025, manakala tempat kedua dimenangi ‘SRA STG’ dan tempat ketiga menjadi milik ‘Isabath’, sementara dua lagi finalis, ‘Heavy OA Band’ dan ‘Bakewei’ masing-masing membawa pulang hadiah saguhati.
Kejuaraan yang diterima melayakkan Kumpulan Mijo’s untuk mewakili Perak ke pertandingan ABOTBA peringkat kebangsaan yang bakal diadakan pada November nanti.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun.
Kumpulan Mijo’s dianggotai Reza Ezani; Rickin Nasmeel Ngah Ajip, 34; Mazri Anjang, 32, Muhammad Zaifudee M Nor Afat, 31, Mazushita Akina Mazeran, 27, serta Erna Ngah Ajip, 37.
Menurut Reza, mereka sememangnya tidak menyangka lagu ciptaan sendiri bertajuk ‘Loi Nus’ serta lagu medley ‘Bukan Lagi Kita’ dan ‘Sepi Sekuntum Mawar Merah’ berjaya memikat juri sehingga melayakkan mereka untuk diumum sebagai juara.
Katanya, persiapan yang dibuat bersama lima ahli kumpulan lain sebelum ini tidak berjalan begitu lancar kerana setiap daripada mereka mempunyai komitmen masing-masing.
Walau bagaimanapun Reza Ezani berkata, ia tidak menghalang mereka untuk terus memberikan persembahan terbaik dalam pertandingan ABOTBA Perak 2025.
“Mungkin disebabkan kami merupakan finalis kumpulan termuda, ia memberi sedikit kelebihan apabila kami dapat membawakan lagu dengan cara lebih segar.
“Untuk peringkat akhir ini kami mengetengahkan elemen muzik rock moden dan ia merupakan identiti kumpulan kami sendiri,” katanya lagi.
Mengulas tentang persiapan untuk ke peringkat kebangsaan Reza Ezani berkata, persiapan yang rapi akan diadakan termasuk daripada soal pemilihan lagu, gubahan muzik dan sebagainya.
“Walaupun dinobatkan sebagai juara dan wakil Perak, kami tidak ambil mudah. Sebaliknya kami akan buat ‘post mortem’ untuk cuba perbaiki segala kelemahan dan seterusnya buat yang lebih baik pada pertandingan kebangsaan nanti,” katanya lagi.
Pada masa sama Reza Ezani turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Perak, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Perak dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) atas penganjuran ABOTBA Perak 2025.
Perak hargai, ketengah bakat Orang Asli
Sementara itu Kerajaan Negeri Perak berhasrat untuk mengetengahkan lagi bakat seni dalam kalangan anak muda Orang Asli di negeri ini ke pentas lebih besar termasuk memberi peluang untuk membuat persembahan bersama artis tersohor tanah air.
Mohd Zolkafly berkata, penganjuran ABOTBA Perak 2025 dilihat sebagai salah satu usaha kerajaan negeri bersama agensi untuk mewujudkan platform khusus mencungkil potensi masyarakat Orang Asli tersebut dalam bidang seni.
“Ramai anak muda Orang Asli sebenarnya berbakat, malah ada kumpulan yang sudah mempunyai peralatan sendiri.
“Kita akan berbincang dengan JAKOA dan kerajaan negeri untuk memberi sokongan agar mereka lebih aktif dalam bidang seni.
“InsyaAllah, pada masa akan datang pertandingan seperti ini akan dianjurkan dengan lebih besar dan lebih meriah,” ujarnya lagi.
Selain ABOTBA Perak 2025, acara bola sepak sembilan sebelah pasukan Orang Asli antara kelainan yang ditampilkan pada KAMU 2025 yang kini memasuki edisi keempat penganjuran dengan tema ‘Meraikan Bakat Muda Perak’.
Sementara di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030, masyarakat Orang Asli antara golongan yang diberikan tumpuan khusus seperti menerusi Flagship Ke-18 iaitu Santuni Orang Asli, bagi memperkasa komuniti tersebut dalam pelbagai aspek. – MG Perak
Artikel Berkaitan: