Banduan mati dalam penjara: Polis rakam percakapan 82 individu

TAIPING – Seramai 82 individu sudah dipanggil untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan kes seorang banduan tahanan lelaki yang meninggal dunia di Penjara Taiping dipercayai dipukul warden pada 17 Januari lalu.

Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, mereka yang dipanggil terdiri daripada dua pegawai penjara dan 80 banduan.

Beliau turut mengesahkan menerima beberapa laporan polis berhubung kejadian itu daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping sejak 17 Januari lalu namun belum ada tangkapan dibuat setakat ini.

“Pada masa ini, kita masih dalam proses siasatan dan masih merakam keterangan lebih banyak banduan dan pegawai penjara. Kita ambil (keterangan) secara berhati-hati dan tidak tergesa-gesa.

“Setakat ini kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana ada menyebabkan kematian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya Sempena Sambutan Tahun Baru Cina Tahun 2025 Peringkat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Perak di Plaza Tol Taiping Selatan, Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE), hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Zulkafli berkata, siasatan lanjut kes itu akan diteruskan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Katanya, punca kematian dan lain-lain perkara yang menjurus kepada kejadian tersebut masih dalam siasatan.

“Siasatan telus akan terus dijalankan dalam kes ini. InshaALLAH semuanya berada dalam keadaan terkawal,“ ujarnya.

Satu perhimpunan anjuran sebuah parti politik diadakan di hadapan Penjara Taiping hari ini (Isnin) susulan dakwaan berlakunya kekasaran terhadap lebih 100 banduan tahanan hingga menyebabkan seorang daripadanya meninggal dunia.

Lebih 50 orang terdiri ahli keluarga, waris serta rakan-rakan berkumpul di hadapan Penjara Taiping bagi menuntut siasatan dan tindakan diambil pihak berkuasa atas dakwaan tersebut. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Cuai dipercayai punca kebakaran 12 motosikal

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI