Banduan yang dibebaskan wajar dibantu bina hidup baharu – Sultan Nazrin

IPOH – Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memperkenankan agar Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak (MAIPk) dan Jabatan Penjara Perak dapat bekerjasama bagi merintis usaha untuk membantu banduan-banduan yang dibebaskan dari penjara.

Titah baginda, Jabatan Mufti Negeri telah dititahkan untuk mengkaji sama ada banduan yang dibebaskan dari penjara tergolong dalam mana-mana asnaf yang layak diberikan bantuan daripada dana zakat.

Sultan Nazrin bertitah, MAIPK boleh berperanan konstruktif untuk membantu banduan yang telah selesai menjalani hukuman bagi memulakan hidup baharu.

“Beta telah menitahkan agar MAIPK memikirkan dana membiayai banduan yang dibebaskan untuk dibantu mengikuti program latihan kemahiran yang sesuai agar mereka dapat segera memulakan hidup yang produktif pasca menjalani hukuman penjara.

“Para banduan telah melalui pengalaman ditangkap oleh pihak polis, melalui pengalaman perbicaraan oleh mahkamah, dan melalui pengalaman tahanan oleh jabatan penjara.

“Pada hemat Beta, perlu ada entiti atau badan yang memberikan perhatian kepada banduan yang telah tamat menjalani hukuman,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Pengurniaan Watikah Yang Di Pertua Dan Anggota Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak (MAIPk),  Hakim Mahkamah Syariah Perak Dan Ahli Majlis Perundingan Masjid, Serta Penyerahan Zakat Perniagaan Dan Pendapatan di Royal Perak Golf Club (RPGC), dekat sini, pada Khamis.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Mufti Perak, Datuk Seri Wan Zahidi Wan Teh serta Yang Dipertua MAIPk, Tan Sri Mohd Annuar Zaini.

Pada masa sama Sultan Nazrin bertitah, dua program pembangunan ummah dengan model koreksional Islamik berimpak tinggi di Pusat Koreksional Batu Gajah dan Penjara Tapah mendapat sambutan baik serta membuahkan hasil yang menggalakkan.

Titah baginda, program itu dibiayai daripada dana wakaf dan zakat untuk membekalkan kelengkapan, kemudahan pembelajaran dan menyediakan tenaga pengajar.

Titah baginda lagi, di samping itu dana sama turut membiayai aktiviti kebajikan dalam usaha pemulihan menyeluruh insan dari sudut jasmani, emosi, akal dan akhlak.

“Mulai Januari 2025, akademi tahfiz diwujudkan di Pusat Koreksional Wanita Batu Gajah, mendapat sambutan tujuh orang peserta, seorang daripadanya telah pun berjaya menghafal enam juzuk al-Quran.

“Mulai Februari 2025, program hafazan al-Quran telah diperkenalkan di Penjara Tapah, mendapat sambutan penyertaan 18 orang prospek; ada yang telah berjaya menghafal tiga juzuk al-Quran,” titah Sultan Nazrin.

Dalam pada itu baginda bertitah bahawa dunia menilai Islam melalui perlakuan penganutnya dan oleh itu usaha memberi penerangan berkenaan Islam tidak akan lengkap jika tidak dicerminkan dengan sifat, sikap, amalan dan kejayaan umat Islam yang boleh dijadikan contoh teladan terbaik.

Titah Sultan Nazrin, institusi Islam tidak terkecuali menerima tempias persepsi negatif jika berlaku kelemahan pengurusan, mahupun ketiadaan integriti oleh pihak yang telah diamanahkan dengan tanggungjawab menguruskan institusi Islam.

“Institusi agama Islam yang  membuktikan kecemerlangan, bukan hanya membantu ummah untuk lebih maju, malah dapat memperbetulkan persepsi negatif terhadap Islam,” titah baginda. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Hari Keputeraan: Sultan Nazrin biaya makanan tengah hari 7,800 banduan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI