IPOH – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) memulakan pembinaan Kompleks Pentadbiran dan Pusat Komersial (KPPK) yang bakal menjadi mercu tanda baharu Bandaraya Ipoh yang memperlihatkan warisan sejarah.
Projek bernilai RM74.6 juta itu menampilkan reka bentuk seni bina Nusantara Melayu, berinspirasikan elemen dan motif rumah tradisional Melayu Perak, khususnya Rumah Kutai.
Yang Dipertua MAIPk, Tan Sri Mohd Annuar Zaini berkata, usaha berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif MAIPk dalam memberi nafas baharu disamping menyuntik roh dalam hasrat memartabatkan seni bina warisan Melayu yang kian terpinggir dalam arus pembangunan moden.
“Pembangunan KPPK bukan sahaja menitikberatkan aspek fungsi dan kemudahan moden, malah turut mengangkat estetika seni warisan tempatan sebagai teras utama reka bentuk.
“Pembangunan KPPK akan menjadi penanda aras baharu dalam pendekatan pembangunan yang menggabungkan tradisi dengan modenisasi, memenuhi agenda memulihara budaya dan warisan Melayu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan sempena Majlis Doa Selamat Mula Kerja Pembinaan KPPK MAIPk, di sini pada Khamis.
Majlis bersejarah itu disempurnakan Mufti Negeri Perak, Datuk Seri Wan Zahidi Wan Teh sambil disaksikan disaksikan Mohd Annuar dan anggota majlis, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim, pegawai kanan kerajaan, wakil komuniti serta rakan strategik pembangunan.
Mohd Annuar berkata, antara ciri utama kompleks berkenaan ialah bumbung lima, ukiran kayu halus pada tiang, siling dan tingkap, tingkap dengan peneduh suria, penggunaan bahan binaan tradisional serta tona warna berinspirasikan alam semula jadi.
Jelasnya, apabila siap kelak, KPPK tersergam sebagai sebuah bangunan setinggi enam tingkat serta dilengkapi dua tingkat bawah tanah dengan kapasiti 314 lot parkir kereta dan 70 lot motosikal.
Selain ruang pejabat dan lantai komersial, kompleks berkenaan turut menempatkan satu lantai khas untuk Galeri Warisan bagi tujuan pendidikan dan pemeliharaan budaya.
Mohd Annuar berkata, KPPK bukan sekadar pusat urusan pentadbiran tetapi juga dirancang sebagai lokasi tarikan pelancong serta rujukan sejarah untuk generasi akan datang.
Katanya, konsep dan reka bentuk kompleks diterajui oleh GDP Arkitek selaku perunding utama projek dengan pembinaan dijangka siap dalam tempoh 30 bulan sehingga April 2028. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
MGPerak: MAIPk Sedia Bantu Urusan Pemilikan Tanah Masjid Ar-Ridzuan