IPOH – Jumlah mangsa banjir di Perak terus meningkat kepada 1,987 orang yang ditempatkan di 25 buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) setakat jam 10 malam pada Isnin.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak berkata, terdapat penambahan dua daerah baharu terjejas akibat banjir iaitu Bagan Datuk dan Mualim.
Katanya, terdapat tiga buah PPS dibuka melibatkan Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Wah Keow di Hilir Perak; Dewan Orang Ramai Sungai Baru di Larut, Matang dan Selama serta Masjid Jamek Slim Village di Mualim telah dibuka antara jam 8.30 malam sehingga 9.30 malam ini.
“Daerah Manjung terus merekodkan jumlah mangsa banjir paling ramai di Perak iaitu 1,079 orang dari 319 keluarga ditempatkan di 13 buah PPS.
“Daerah kedua terjejas teruk banjir kali ini adalah Perak Tengah dengan jumlah mangsa seramai 696 orang melibatkan 233 keluarga di tempatkan di enam PPS,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Mengulas lanjut, JPBN Perak berkata,seramai 156 mangsa banjir di Hilir Perak ditempatkan di dua buah PPS, manakala 38 mangsa dari Larut, Matang dan Selama ditempatkan di dua buah PPS.
“Bagi daerah Bagan Datuk sebanyak sebuah PPS dibuka dan menempatkan 18 mangsa dari lapan keluarga manakala sebuah PPS dibuka di Mualim dan mangsa masih dalam proses pemindahan,” katanya.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan kategori ‘Buruk’ di Daerah Kerian; Larut, Matang dan Selama; Hulu Perak; Kuala Kangsar; Manjung; Kinta; Perak Tengah; Bagan Datuk dan Hilir Perak sehingga 26 November.
Jabatan Pengairan dan Saliran dalam kenyataan sama memaklumkan paras air sungai di empangan Sungai Bidor di Changkat Jong dalam daerah Hulu Perak melepasi tahap bahaya dan merekodkan paras 4.48 meter. -MG Perak


