Banjir di Perak semakin buruk, 625 mangsa dipindahkan

IPOH – Situasi banjir di Perak semakin memburuk selepas jumlah mangsa yang dipindahkan serta pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka terus merekodkan peningkatan setakat jam 8 pagi pada Isnin.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak, dalam satu kenyataan memaklumkan, seramai 625 mangsa banjir dipindahkan ke 12 PPS di empat daerah terjejas di negeri ini.

Menurutnya, daerah Hulu Perak merekodkan lima PPS baharu dibuka sejak jam 12 tengah malam tadi sehingga jam 7 pagi melibatkan 166 mangsa dari enam buah kampung yang dinaiki air.

“Lima PPS berkenaan adalah, Sekolah Kebangsaan (SK) Plang, SK Kerunai, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kenering, Dewan Kampung Padang Jeri dan SK Pahit.

“Sebuah lagi PPS yang baharu dibuka adalah Dewan Kampung Batu 4, di daerah Mualim dan jumlah mangsa belum dimuktamadkan memandangkan proses pemindahan sedang berjalan,” katanya.

JPBN Perak berkata, jumlah mangsa di enam PPS lain iaitu SK Changkat Lobak dan SK Parit Haji Aman, Bagan Serai di Kerian; SMK Sultan Idris Shah II di Hulu Perak; SK Lasah, Dewan Pandak Hamzah, Pusat Sehenti Orang Asli (OAOSC) Bawong dan SMK RLKT Lasah, Sungai Siput di Kuala Kangsar kekal seramai 492 orang. – MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI