TAIPING – Ibu berpantang dan bayi serta warga emas uzur atau mempunyai masalah kesihatan kronik yang terjejas dengan situasi banjir di kawasan Parlimen Bukit Gantang dalam daerah Larut, Matang dan Selama (LMS) akan ditempatkan semula di sebuah hotel di sini.
Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, langkah itu diambil bagi memastikan tahap keselesaan dan keselamatan golongan berisiko tinggi atau rentan itu sentiasa berada dalam keadaan terbaik.
Katanya, ini kerana beliau menerima aduan segelintir daripada mereka yang ditetapkan di pusat pemindahan sementara (PPS) bersama kurang selesa atas faktor kesihatan kurang baik yang dialami.

“Bagi mereka yang tidak boleh tinggal di PPS, contohnya pesakit kronik atau warga emas yang uzur, kita akan pindahkan mereka ke Hotel Taiping Perdana.
“Begitu juga bagi ibu yang baru bersalin bersama bayi kecil. Mereka perlu tempat yang lebih selesa, bukan dalam suasana sejuk atau sesak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meninjau dan menyerahkan sumbangan kepada mangsa banjir yang berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang dekat sini, pada Jumaat.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan, seramai 398 mangsa melibatkan 127 keluarga ditempatkan di PPS berkenaan selepas diaktifkan pada Khamis malam.
Kesemua mereka dari Kampung Jelapang Jaya; Taman Simpang Makmur; Kampung Sungai Batu Teguh; Taman Simpang, serta Kampung Baru Simpang.

Mengulas lanjut Syed Abu Hussin Hafiz meminta agar pihak berkuasa termasuk Pejabat Daerah dan Tanah serta Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk menilai semula lokasi PPS agar lebih sesuai dijadikan tempat perlindungan sementara bagi mangsa banjir.
Kata beliau, ini kerana ada beberapa PPS di kawasan sekitar didakwa mempunyai kemudahan yang terhad sehingga tidak mampu untuk menampung kegunaan mereka yang ditempatkan di situ.
Selain itu, beliau berkata pihaknya bersedia dan mencadangkan agar Pusat Khidmat Parlimen Bukit Gantang dijadikan sebagai salah satu lokasi PPS bagi kegunaan penduduk setempat yang terjejas banjir pada masa hadapan.
“Saya mencadangkan supaya Pusat Khidmat saya turut disenaraikan sebagai salah satu PPS untuk mangsa-mangsa banjir.
“Saya yakin pusat khidmat saya mempunyai kemudahan yang mencukupi di samping dapat menjamin keselesaan dan kebajikan mereka yang akan ditempatkan kelak,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Suasana Mangsa Banjir Berteduh di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SK Simpang, Taiping


