IPOH – Seramai 220 orang mangsa banjir di Perak berlindung di dua pusat pemindahan sementara (PPS) di dua daerah iaitu Perak Tengah dan Manjung, pada Jumaat
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, jumlah mangsa itu melibatkan 68 keluarga dari tujuh kawasan yang terjejas bencana alam setakat jam 8 pagi.
Katanya, mengikut perincian, 34 mangsa daripada 11 keluarga dari Kampung Pulau Misa ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Teluk Kepayang di Daerah Perak Tengah.
“Seramai 186 mangsa daripada 57 di Manjung berlindung di PPS SK Beruas sejak ia mula diaktifkan pada Khamis.
“Kesemua mangsa terlibat dari Kampung Kilang, Taman Anggerik Permai, Kampung Tersusun Belakang Masjid, Kampung Belakang Balai, Kampung Cenderong Klubi, serta Kampung Pulau Kabong,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Sementara itu katanya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan, aras air sungai di Negeri Perak di tiga stesen melepasi tahap normal.
Jelasnya, aras Sungai Rui di Hulu Perak dan Sungai Bidor masing-masing merekodkan tahap amaran pada bacaan 165.67 meter dan 3.34 meter.
“Aras air Sungai Perak di Bagan Datuk mula meningkat ke tahap waspada melalui bacaan 2.11 meter,” katanya lagi.
Pada masa sama ujarnya lagi, Jabatan Metereologi Malaysia (METMalaysia) pula memberitahu, sebahagian besar daerah di negeri ini dijangka mengalami hujan dan ribut pada sebelah petang sehingga malam. – MG Perak
Artikel Berkaitan: