IPOH – Angka mangsa terjejas banjir yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di Perak merekodkan penurunan dengan 2,206 mangsa setakat jam 4 petang Khamis, berbanding 2,593 pada tengah hari.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak berkata, kesemua mereka yang terdiri dari 671 keluarga itu ditempatkan di 16 PPS di empat daerah iaitu di Manjung, Larut Matang dan Selama, (LMS), Hilir Perak dan Bagan Datuk.
Katanya, daripada jumlah itu, seramai 392 mangsa dari 110 keluarga berlindung di tiga PPS di Manjung iaitu Sekolah Rendah Agama Rakyat Padang Serai, Sekolah Kebangsaan (SK) Pengkalan Bharu dan SK Kayan Lekir.
Menurutnya lagi, 13 mangsa banjir dari lima keluarga di LMS pula ditempatkan di satu-satunya PPS di daerah berkenaan iaitu PPS SK Batu Hampar.
“Sementara di Hilir Perak, sebanyak sembilan PPS masih diaktifkan dengan menempatkan 1,201 mangsa banjir dari 355 keluarga.
“Antara PPS berkenaan termasuk Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) Langkap, Dewan Serbaguna Kampung Sungai Rubana, Dewan Serbaguna Kampung Padang Tembak dan Dewan Karetina Batak Rabit,” katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.
Tambahnya, seramai 600 mangsa dari 201 yang terkesan bencana banjir di Bagan Datuk berlindung di tiga PPS iaitu Dewan Serbaguna Pejabat Daerah dan Tanah Bagan Datuk, Dewan Perdana Kompleks UMNO Bagan Datuk serta Dewan Kompleks Belia dan Sukan Bagan Datuk.
Pada masa sama katanya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan paras air di stesen Sungai Slim di Slim River berada pada aras bahaya apabila mencatatkan bacaan 26.25 meter.
“Stesen Sungai Bidor di Changkat Jong pula berada pada aras waspada dengan bacaan 3.11 meter berbanding 2.00 meter aras normal,” katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
PPS Muallim ditutup, jumlah mangsa banjir menurun 6,330 orang


