Banjir Perak: 306 calon SPM dipindahkan

IPOH – Seramai 306 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025, termasuk calon persendirian di Perak terpaksa dipindahkan ke pusat peperiksaan baharu ekoran kejadian banjir di negeri ini, pada Isnin.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata, kesemua mereka merupakan calon SPM yang berada di daerah Teluk Intan, Bagan Datuk, dan Manjung.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 67 calon dan 11 calon persendirian dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Abdul Rahman Talib di Teluk Intan dipindahkan ke pusat peperiksaan baharu di SMK Seri Perak.

“Selain itu 59 calon dari SMK Seri Kandi akan mengambil peperiksaan di SMK Seri Setia. Manakala 93 calon SPM dan 20 calon persendirian SMK Tun Abdul Razak di Bagan Datuk akan mengambil peperiksaan Dewan Masjid Tuminah Hamidi.

“Sementara itu 56 calon SPM di SMK Dato’ Idris, Pantai Remis di Manjung pula akan mengambil peperiksaan di SMK Pantai Remis,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Jason Ng Thien Yeong (PH-Astaka) pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Ketiga Dewan Negeri Perak Yang ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Isnin.

Menurut Khairudin (BN-Belanja), keempat-empat pemindahan itu diputuskan selepas mendapati semua pusat peperiksaan SPM berkenaan dilaporkan tidak selamat akibat banjir.

Kata beliau, sementara itu 20 calon SPM dari Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan Daerah Manjung di Pulau Pangkor pula dipindahkan ke pusat peperiksaan di SMK Pangkor selepas pihak berkuasa mendapati keadaan cerun dan bangunan berada pada keadaan kritikal atau tidak selamat.

Banjir Perak calon SPM dipindahkan Banjir Perak 2025 Pemindahan calon SPM Pusat peperiksaan tidak selamat SPM 2025 Perak Teluk Intan banjir Bagan Datuk banjir Manjung banjir JPN Perak Operasi Payung KPM kesiapsiagaan banjir PPS Perak Calon SPM terjejas banjir
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah menjawab soalan lisan pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Ketiga, Dewan Negeri Perak Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 01 DISEMBER 2025.

Menurut beliau, kesemua calon SPM di sekolah tersebut juga telah ditempatkan di Pusat Kokurikulum Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak di Pulau Pangkor, sebagai tempat penginapan sementara.

“Pihak-pihak seperti Pejabat Daerah dan Tanah, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) akan membantu menguruskan dan menyelaraskan pergerakan calon ke pusat peperiksaan yang baru.

“Dan kita mendapati pada hari ini bahawa proses penyelarasan calon di kelima-kelima pusat peperiksaan berjalan dengan baik.

“Ia hasil kerjasama dan komitmen daripada pihak-pihak berkaitan dalam memastikan urusan penghantaran dan juga pengambilan calon-calon ke pusat peperiksaan dapat berjalan dengan baik serta lancar,” katanya.

Mengulas lanjut Khairudin memaklumkan, Operasi Payung telah dilaksanakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersama pelbagai agensi dan jabatan berkaitan sebagai kesiapsiagaan dalam menghadapi bencana banjir.

Kata beliau terdapat empat situasi banjir yang dianggap mengancam kepada proses perjalanan peperiksaan SPM iaitu hanya pusat peperiksaan sahaja yang terlibat banjir, sedangkan kawasan persekitaran, kediaman calon dan jalan ke pusat peperiksaan tidak banjir.

“Situasi kedua pula, hanya jalan menuju ke pusat peperiksaan sahaja yang terlibat banjir, sedangkan kediaman calon dan pusat peperiksaan tidak terlibat.

“Situasi ketiga, jalan menuju ke pusat peperiksaan dan persekitarannya banjir. Manakala, situasi keempat, bilik kebal dan jalan menuju ke bilik kebal terlibat dengan banjir, sedangkan kediaman calon dan pusat peperiksaan tidak terlibat,” jelas beliau.

Setakat jam 8 pagi, seramai 4,766 mangsa dan 1,447 keluarga yang terjejas banjir di Perak berlindung di 30 pusat pemindahan sementara (PPS).

Ia melibatkan lima daerah iaitu Perak Tengah, Manjung, Larut Matang dan Selama, Hilir Perak, dan Bagan Datuk. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

PPS Muallim ditutup, jumlah mangsa banjir menurun 6,330 orang

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI